Liga-M: MFL terima tajaan lebih RM33.4 juta

Foto daripada Facebook Malaysian Football League.

PUTRAJAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berjaya memperoleh tajaan berjumlah RM33.4 juta yang turut merangkumi hak penyiaran perlawanan bagi memastikan kelancaran saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Tanpa mendedahkan butiran penaja, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan badan pentadbir Liga-M itu menjangka beberapa lagi penaja akan tampil, namun ia masih di peringkat perbincangan.

“Sehingga kini, jumlah penajaan adalah RM33,428,000 dan jumlah itu melibatkan hak penyiaraan, penajaan yang antaranya dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

“Itu jumlah kita berjaya dapatkan dalam tempoh pandemik Covid-19 dan kita sebenarnya ada beberapa lagi peluang penajaan yang masih dalam perbincangan dan belum ditandatangani, jadi kita harap akan ada penambahan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Liga-M 2021 di sini hari ini.

Advertisement

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pada November lepas, dua syarikat swasta, CIMB dan AirAsia menamatkan kerjasama penajaan bagi saingan Liga-M 2021 sebelum syarikat penerbangan tambang murah itu kembali menyatakan minat untuk menjadi salah satu penaja bagi saingan musim ini pada Disember.

Musim lepas juga menyaksikan perjalanan Liga-M terjejas dengan jumlah perlawanan liga dipendekkan selain pembatalan beberapa kejohanan antaranya Piala FA dan Piala Malaysia.

Sementara itu, Ab Ghani berkata sepanjang setahun berdepan pandemik Covid-19, MFL menerima pelbagai rintihan khususnya daripada penyokong bola sepak yang tidak dibenarkan ke stadium susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

“Di sini sebahagian besar mereka mula menyedari betapa bernilai, sentimental dan semangat ukhwah dalam kelompok penyokong bola sepak terhadap Liga-M.

“Jadi saya sangat yakin dan percaya Liga-M 2021 bukan sahaja akan mendapat sokongan pelbagai pihak sebaliknya bakal menjadi penanda aras di mana Liga-M juga memiliki kualiti dan potensi besar,” jelas beliau.

Kempen Liga-M akan membuka tirai dengan pertembungan antara juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat ini. – BERNAMA