Loji baru atasi gangguan bekalan air di Kuala Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pembangunan yang tidak setara dengan infrastruktur loji rawatan air menjadi antara faktor berlaku gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di sesetengah tempat di Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antaranya Kuala Kedah yang membangun pesat sejak 10 tahun kebelakangan ini dengan muncul banyak taman perumahan baharu.

Namun katanya, pembangunan dan pertambahan bilangan penduduk tidak diimbangi dengan prasarana projek bekalan air.

“Kawasan itu masih bergantung dengan struktur bekalan air berbelas-belas tahun lepas.

“Jadi pembangunan tidak seiring dengan pertambahan jumlah penduduk maka timbul masalah bekalan air yang terpaksa dialami penduduk sekarang,” katanya di sini.

- Advertisement -

Selain itu kata beliau kedudukan Kuala Kedah yang berada di hujung sistem agihan paip membuatkan tekanan air menjadi rendah.

Menurutnya keadaan itu menyebabkan penduduk menghadapi masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak dahulu sehingga sekarang.

Bagi mengatasi masalah terbabit Sanusi berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) diarah menambah jumlah lori bagi membekalkan air kepada pengguna yang terjejas.

“Saya bagi jaminan, apabila siap Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang dalam tempoh tiga tahun lagi, masalah sebegini akan diatasi sepenuhnya.

“Buat masa sekarang terpaksa bergantung kepada penghantaran air melalui SADA sebagai penyelesaian jangka pendek. Jangka panjang kita tunggu siap LRA,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -