Kesemua vaksin dibeli berkesan, selamat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kesemua vaksin yang dibeli oleh Malaysia seperti Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Sputnik V, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) dan CanSinoBIO adalah berkesan dan selamat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan Malaysia telah menempah untuk membeli lima jenis vaksin.

Katanya, dua jenis vaksin Pfizer BioNTech buatan Belgium dan Sinovac dari China telah diterima oleh Malaysia minggu lalu.

- Advertisement -

“Malaysia telah mengumumkan setakat ini lima jenis vaksin yang kita akan beli iaitu Pfizer BioNTech, AstraZeneca, Sputnik V, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), dan CanSinoBIO.

“Kita telah menerima penghantaran pertama daripada Pfizer dan Sinovac. Minggu lalu, Kita (Malaysia) terima 300,000 dos vaksin Sinovac daripada negara China.

“(Ini) Bertujuan menambah nilai daripada pembelian dan jumlah besar ini, kita berhasrat memajukan kapasiti tempatan, bagi membolehkan proses urusan vaksin ini dilaksanakan di Malaysia dan membabitkan syarikat di negara ini.

“Kita terima Sinovac ini secara pukal dan proses pembotolan seterusnya akan dibuat di Malaysia, melalui syarikat milik kerajaan Pharmaniaga.

“Kesemua vaksin yang telah dibeli oleh Malaysia, telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA). Dalam kes Sinovac, dia dalam kelas yang sama sebenarnya dengan Pfizer dari segi keberkesanan,” ujar kepada Harakah, di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, keberkesanan vaksin Pfizer mencatat kadar 95 peratus, Sinovac pula mencatat antara 50.4 hingga 91.25 peratus dan antara yang terbaik ketika ini.

“Indonesia terlebih dahulu membeli Sinovac berbanding dengan kita (Malaysia). Saya ingin tegaskan, apa yang ditentukan oleh kerajaan seperti Sputnik V contohnya, diterbitkan dalam jurnal perubatan dengan ujian 91.6 peratus.

“Sinovac menggunakan teknologi yang telah terbukti iaitu daripada kuman virus yang telah dinyah aktifkan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menegaskan, rakyat perlu faham NPRA telahpun menjalankan tugas dengan teliti dan vaksin ini adalah baik.

Katanya, kadar keberkesanan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi membolehkan vaksin itu diterima sebagai baik ialah 50 peratus ke atas dan dianggap baik serta boleh diterima.

“Saya (Amzad) sendiri pun bersama Khairy Jamaluddin, saya mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. Sampai hari ini, saya pun masih menunggu giliran. Saya sedia menerima apa juga jenis vaksin yang ditentukan.

“Jika tiba giliran saya dan kebetulan jenis vaksin Sputnik V, saya terima sahaja tidak ada masalah. Sebab, saya yakin kerajaan telah melakukan tanggungjawab dengan teliti.

“Kita tidak ada pilih kasih dalam soal menentukan pengambilan vaksin,” tegasnya sebelum bertolak ke Putrajaya dari Kuala Terengganu.

Menurutnya, bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kerajaan menyediakan 500,000 dos vaksin untuk ‘frontlines’ di barisan hadapan fasa pertama ini. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -