MB nafi dakwaan ‘ahli SUK potong barisan’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menafikan tuduhan yang mendakwa ‘200 ahli’ di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan ‘memotong barisan’ untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perkara itu hanya sekadar perbualan di media sosial semata-mata dan tidak ada sumber yang tepat.

Katanya, kerajaan negeri sudah merancang suntikan vaksin Covid-19 sejak awal lagi dengan Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin.

“Kita tunggu esok, kita tengok siapa lompat tak lompat (potong que),” katanya selepas program lintas langsung bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena ulangtahun pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kota Darulnaim, hari ini.

- Advertisement -

Turut mengikuti siaran langsung berkenaan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri.

Semalam, tersebar di media sosial kononnya SUK KElantan potong ‘que’ untuk menerima suntikan vaksin (SUK minta untuk cucuk ahli SUK sebanyak 200 orang).

Berikutan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin menjelaskan kerajaan negeri pernah tidak campur tangan dalam sebarang proses penerima vaksin Covid-19.

sebaliknya kata beliau senarai penerima awal vaksin dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

Menteri Besar juga berkata, di Kelantan terdapat sebanyak 29 tempat ditetapkan untuk program vaksinasi yang bermula secara rasmi esok.

Menurutnya, tempat-tempat berkenaan juga ditentukan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan termasuk sembilan tempat di hospital dan satu tempat di pusat perubatan tentera.

“Selebihnya diadakan di pusat-pusat kesihatan di negeri ini menerusi beberapa fasa. Kerajaan negeri tidak mampu mengadakan vaksinasi serentak melibatkan 43,000 orang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -