Fokus pemerkasaan digital – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi fokus kepada pemerkasan digital sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

“Sehubungan itu, saya telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari yang lalu.

“Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Pusat Convention Antarabangsa Putrajaya, pagi tadi.

- Advertisement -

Berdasarkan laporan International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2020, daripada 63 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 dengan skor 82.39 peratus.

Manakala, dari aspek kreativiti dan inovasi, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik dengan skor 81.5 dalam World Bank’s Doing Business 2020.

Menurut Muhyiddin, inisiatif MyDigital yang berpotensi menarik pelaburan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion pastinya akan meningkatkan daya saing negara, di samping menjadi antara pemangkin utama pemulihan ekonomi negara dan penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat.

Katanya, kerajaan melalui kementerian dan agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Pelan tindakan ini akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Pelaksanaan JENDELA diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sebanyak 128 projek ICT dan pendigitalan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan tahun ini sebanyak RM538.7 juta telah diluluskan oleh kerajaan.

Jelasnya, projek-projek yang diluluskan tersebut meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaik taraf kelengkapan ICT di institut latihan. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -