Darurat bukan untuk pertahan kuasa PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong bukan bertujuan mengekalkan kuasa Perdana Menteri sebaliknya untuk mengatasi masalah Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong hanya membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan.

Mengulangi pendiriannya, Muhyiddin berkata apabila masalah pandemik telah dapat diatasi beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan.

Ketika itu katanya, rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah.

- Advertisement -

Namun beliau berharap, rakyat memberi ruang kepada kerajaan sedia ada untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

Muhyiddin juga menegaskan, beliau menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi.

“Sejak darurat berkuatkuasa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

“Kesemua ordinan ini adalah bertujuan untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik Covid-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambah baik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan Covid-19 di negara kita.

“Dengan adanya Proklamasi Darurat, kesemua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasannya mengambil masa yang lama.

“Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi.

“Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya.

“Malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat,” ucapnya dalam Majlis Amanat Perdana Menteri Setahun Malaysia Prihatin, di Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pagi tadi.

Ulasnya, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat dan membuat perakuan sama ada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Pagoh itu percaya Jawatankuasa Khas Bebas yang dibentuk itu akan meneliti situasi pandemik sehingga dapat dikawal sepenuhnya sebelum perakuan darurat ditamatkan. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -