BTSRC: Sasar bantu golongan tidak berkemampuan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan Rahmat Care menyasarkan untuk membantu golongan kurang berkemampuan dari aspek pendidikan khususnya melalui program Back To School Rahmat Care (BTSRC).

Program tersebut memberi keutamaan kepada sumbangan berbentuk pek rangkaian telefon berjumlah RM50 untuk setiap murid yang disasar demi menjayakan pembelajaran secara atas talian.

- Advertisement -

Menurut Pengerusinya, Ustaz Mohammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China, walaupun kerajaan telah mengumumkan pembukaan sekolah secara menyeluruh, namun era mendigitalkan pendidikan tetap menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.

Justeru itu katanya, Rahmat Care akan meneruskan usaha tersebut demi melihat pendidikan negara ke tahap yang lebih baik dan memuaskan.

Beliau yakin, sebarang misi dan visi kerajaan dalam pendidikan bukan hanya terletak di bahu warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja, bahkan termasuk masyarakat dan NGO-NGO dalam merealisasikannya, ujarnya ketika ditemui Harakah pada Ahad.

Selain itu, Rahmat Care juga turut mengagihkan sumbangan berbentuk kewangan berjumlah RM100 untuk murid yang kurang berkemampuan bagi tujuan memudahkan para pelajar membeli buku latihan atau buku teks sekolah.

Setakat ini, Rahmat Care berjaya mengedarkan sumbangan tersebut di sekitar Perkampungan Orang Asal, Ulu Yam, Gombak dengan menfokuskan pelajar Tahun 6 dengan kerjasama Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kertas, Batu Caves.

“Semoga bantuan dan sumbangan ini sedikit sebanyak meringankan beban anak-anak kita yang bakal menempuh alam persekolahan yang dibuka semula tidak lama lagi.

“Dengan norma baharu, keperluan anak-anak murid ini untuk terus berhubung dengan sekolah dan guru mereka sangat penting.

“Kami merayu sumbangan berterusan anda semua bagi membantu mereka disana yang masih ketinggalan dan berharap bantuan dan sokongan daripada kita,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -