‘Semoga Allah beri ketabahan kepada keluarga mangsa’

Foto daripada portal Pahang Media.

KUALA LUMPUR: “Semoga Allah memberi kekuatan dan ketabahan kepada keluarga mangsa,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu susulan tragedi lemas di Pantai Sungai Ular, Kuantan, petang semalam.

Menurutnya, beliau segera ke lokasi kejadian bagi memantau operasi mencari dan menyelamat serta mengambil maklum sebarang keperluan.

“Sama-sama kita panjatkan doa buat semua mangsa dan ahli keluarga mereka,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau, malam tadi.

Advertisement
Andansura Rabu

Sementara itu, Bernama melaporkan, mangsa yang terselamat dalam tragedi lemas itu, Fitrah Dhia Zulaikha Zaidi sempat memegang tangan adiknya Fitrah Dhia Zahraa’, 9, sebelum terlepas akibat dipukul ombak.

Remaja berusia 13 tahun yang hampir tenggelam dalam kejadian itu berkata dia hanya meihat adiknya semakin jauh dibawa ombak sebelum tubuhnya ditarik oleh lelaki yang menaiki bot.

“Sebelum itu, adik berlari ke laut bersama rakan lain tanpa menunggu saya…tiba-tiba saya lihat adik terkapai-kapai dan semakin tenggelam menyebabkan saya terus berlari masuk ke laut untuk menyelamatkan dia,” katanya di lokasi kejadian.

Fitriah Dhia Zulaikha sebelum itu telah berjanji dengan jirannya Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, untuk mandi di pantai dan mereka berjalan kaki ke pantai yang terletak kurang 200 meter dari rumah sekitar 5.30 petang.

Dalam kejadian itu, Nor Najuwa turut ditemukan lemas manakala adiknya Mohd Fazrul Hakimi, 11, dilaporkan masih hilang. Mayat kedua-dua mangsa ditemukan sekitar 6 petang. – HARAKAHDAILY 28/2/2021