Pesalah berulang dikena kompaun RM10,000

- Advertisement -

JELI: Hanya mereka yang melakukan kesalahan berulang kerana ingkar dengan sebarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berhadapan dengan kompaun RM10,000 yang dikuatkuasa 11 Mac ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata kerajaan mengambil keputusan itu bukan untuk mengkompaun setiap kesalahan bersabit Covid-19 terhadap setiap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, hanya tertentu pada mereka yang terbabit antaranya melakukan kesalahan berulang di samping mencipta kluster baharu berikutan melanggar SOP.

“Kita sedar ramai yang salah faham terhadap kompaun yang dikenakan sehingga RM10,000 hanya pada pelaku yang gagal memakai pelitup muka, penjarakan sosial atau seumpamanya,” ujarnya.

- Advertisement -

Sambungnya, sedangkan apa yang bakal dilaksanakan nanti hanya pada mereka yang melakukan kesalahan yang berulang sehingga melanggar SOP termasuk rentas negeri.

Beliau berkata demikian kepada media pada sidang medianya sempena lawatan ke tapak Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli (IPD), semalam.

Hadir sama pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Beliau bagaimanapun berkata, mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh membuat rayuan dari pihak berkaitan.

Menurut Hamid, pihaknya hanya terlibat dengan penguatkuasaan SOP dan mengeluarkan arahan kompaun semata-mata.

Jelasnya, hanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan menerima bayaran kompaun dan bukannya PDRM.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan 25 Februari lalu, individu yang melanggar peraturan atau SOP yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 berdepan hukuman denda maksimum RM10,000 mulai 11 Mac 2021. – HARAKAHDAILY 28/2/2021

- Advertisement -