Vaksin Covid-19: Lebih setengah juta telah daftar

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka secara rasmi melalui aplikasi MySejahtera hari ini, seramai 637,000 individu telah mendaftar sebagai penerima menerusi medium tersebut setakat 9 malam tadi.

Memetik laporan Bernama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr Mahesh Appannan berkata, pada masa ini aplikasi berkenaan dilihat sebagai medium paling berkesan untuk menyebarkan maklumat mengenai Covid-19 termasuk program vaksinasi.

“Aplikasi MySejahtera sekarang mempunyai hampir 21 juta pengguna unik dan mereka semua aktif, setiap hari kita dapat hampir 18 hingga 20 juta check-in,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Vaksin Covid-19: Selamat dan Berkesan?’ semalam.

Itu, ujarnya menunjukkan banyak interaksi dan penggunaan MySejahtera dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

“Buat masa ini kita memang tidak mewajibkan penggunaan MySejahtera tetapi menggalakkan rakyat Malaysia untuk menggunakannya. Mewajibkan sesuatu bukan selalunya strategi kami, ia datang dengan kesukarelaan,” katanya lagi.

Dr Mahesh turut memberi jaminan mengenai keselamatan data pengguna MySejahtera memandangkan aplikasi tersebut di bawah akta penting seperti Akta Perubatan 1971 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, selain turut menjalankan hubungan strategik dengan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 48 peratus kontak rapat Covid-19 berjaya dikesan melalui aplikasi MySejahtera.

Petang semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan program pendaftaran vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pelaksanaan program imunisasi itu.

Majlis pelancaran diadakan selepas perdana menteri menerima suntikan pertama daripada dua dos vaksin Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 2.43 petang, sekali gus menjadi individu pertama menerima vaksin itu di negara ini.

Turut menerima suntikan vaksin sama hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Empat petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia yang menjadi antara penerima awal vaksin Covid-19 hari ini ialah Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Presint 9, Dr Tan Yee Ling, Penolong Pegawai Perubatan di PKD Putrajaya, Khairul Asraf Mohd Yasin, jururawat di Klinik Kesihatan Presint 9, Sheilla Mellisa Sikin dan pemandu di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Clement a/l Marai Francis.

Pendaftaran melalui Aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran secara dalam talian atau secara manual yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pemberian vaksin dilakukan dalam tiga fasa di mana fasa pertama yang bermula esok hingga April, mengikut dua kumpulan, iaitu kumpalan satu bagi kumpulan barisan hadapan petugas kesihatan kerajaan dan swasta dan kumpulan kedua membabitkan petugas barisan hadapan perkhidmatan penting dan pertahanan.

Bagi fasa itu disasarkan 500,000 orang akan diberikan vaksin.

Bagi fasa kedua mulai April hingga Ogos turut membabitkan dua kumpulan iaitu kumpulan utama satu membabitkan baki kakitangan penjaga kesihatan serta perkhidmatan penting dan pertahanan.

Kumpulan utama kedua fasa itu adalah warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi mengalami penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi dan orang kurang upaya (OKU) yang disasarkan seramai 9.4 juta orang.

Fasa ketiga pula bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 iaitu penduduk berumur 18 tahun ke atas (warganegara dan bukan warganegara) dengan keutamaan bagi zon merah diikuti zon kuning dan zon hijau.

Seramai 13.7 juta orang dan lebih dijangka diberikan suntikan dalam fasa itu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menetapkan pemberian vaksin diberikan mengikut tiga strategi iaitu yang pertama adalah kepada petugas barisan hadapan, terutamanya petugas kesihatan bagi memastikan kumpulan itu terlindung daripada jangkitan Covid-19.

Ia bertujuan memastikan sistem kesihatan dan keselamatan pada tahap optimum.

Strategi kedua pula untuk mengurangkan beban penyakit kepada kumpulan berisiko tinggi supaya mereka terlindung daripada jangkitan Covid-19, sekali gus dapat mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam Malaysia.

Bagi strategi ketiga adalah untuk kawalan wabak, pemberian vaksin akan dijalankan sepanjang fasa dua dan tiga di kawasan kluster berisiko tinggi melalui penilaian risiko bagi mengawal penularan penyakit.

Secara keseluruhan, keutamaan pemberian vaksin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah berdasarkan epidemik penyakit dan data klinikal, jenis vaksin, faktor operasi dan penilaian risiko. – HARAKAHDAILY 25/2/2021

- Advertisement -