PAS Tambun hasrat baik pulih rumah asnaf

- Advertisement -

TAMBUN: PAS Kawasan Tambun berhasrat melakukan kerja baik pulih rumah asnaf di sekitar Tanjung Rambutan, demikian kenyataan dikongsi Yang DiPertua PAS Tambun merangkap Penyelia Pusat Khidmat PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Ustaz Md Salleh Said.

- Advertisement -

Jelas beliau, usaha itu diambil sebagai tindakan susulan program ziarah kebajikan yang dilakukan pihaknya bagi membantu golongan asnaf yang selama ini terpaksa tinggal di rumah yang sangat dhaif.

“Saya tidak sangka dalam DUN Hulu Kinta ini, masih ada mereka yang tinggal di rumah yang uzur seperti ini. Bila kita datang ziarah, sayu sekali melihat keadaan rumah mereka. Oleh yang demikian saya fikir, tindakan membaik pulih rumah asnaf ini wajar dilaksanakan dengan segera.

“Kita sentiasa cuba beri khidmat yang terbaik untuk menyelami kesusahan masyarakat setempat. Dengan kemampuan yang ada, InsyaAllah PAS Tambun (akan) sedaya upaya membantu asnaf yang memerlukan,” jelas Ustaz Salleh.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri ketika ditemui berkata, pihaknya bersedia menyusun dan mengarahkan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) dan Pemuda PAS Tambun bagi membantu usaha baik pulih rumah asnaf ini.

Ustaz Hafez yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak berkata, sinergi JAM Tambun dan JAM Perak akan digandingkan bagi menyahut hasrat murni YDP Tambun ini.

Jelasnya, Ustaz Salleh amat komited dengan tugas dimana beliau tidak boleh duduk diam apabila mengetahui hal keperitan rakyat dan akan terus berusaha dengan apa cara sekalipun untuk bersama denyut nadi masyarakat.

“InsyaAllah anggota Amal Tambun dan Amal Perak akan turun padang (bagi) membantu operasi ini. Ini kerana mereka telah mempunyai banyak pengalaman (dalam) membantu gerak kerja kebajikan masyarakat dan masing-masing memiliki kepakaran tersendiri.

“Kerja kebajikan tanpa mengharapkan sebarang bayaran ini (telah) sinonim dengan mereka (Amal). Di mana sahaja yang memerlukan khidmat, mereka pasti akan turun padang dan bantu.

“Teman-teman, marilah kita terus berdoa agar Allah bantu kami dan kita semua dalam membela nasib rakyat yang menghadapi kesusahan dan keperitan,” ujar Ustaz Hafez.

Usaha baik pilih rumah asnaf ini turut mendapat kerjasama beberapa buah Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuklah Pertubuhan Komuniti Peduli Ipoh, Perak (PKPI) dan Pertubuhan Prihatin Rakyat Kinta, Perak (Prihatin Rakyat).

Sumbangan orang ramai amat dialu-alukan bagi mendokong segala keperluan gerak kerja kebajikan di mana ia boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Pertubuhan Komuniti Peduli, Ipoh 0801-3010-0964-76. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -