Sambut Tahun Baru Cina secara virtual

Pemuda PAS lakar sejarah

- Advertisement -

WALAUPUN berhadapan dengan pandemik COVID-19, Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui Lajnah Perpaduan Nasional, telah berjaya membawa satu pembaharuan dengan mengadakan Sambutan Tahun Baru Cina 2021 secara virtual. Sambutan ini telah berlangsung pada 20 Februari 2021 (Sabtu) dan telah dipengerusikan oleh dua anak muda yang mampu berbicara dalam bahasa Mandarin dengan cukup baik, Saudara Luth Gaoos dan Saudari Nurzahida Ahmad Sha’arani.

Sambutan yang julung-julung kali diadakan ini dibuka dengan bacaan tiga ayat al-Quran oleh adik Sumayyah bin Mohamad yang baru berusia 17 tahun. Uniknya, bacaan ayat ini disusuli dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Mandarin. Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Pemuda PAS Malaysia, En Arifiriazul Paijo telah menyampaikan ucapan alu-aluan meraikan kehadiran lebih 50 tetamu ke sambutan secara atas talian di medium Zoom.

- Advertisement -

Selain daripada kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Malaysia, antara tetamu yang hadir memeriahkan sambutan berkenaan adalah En. Balendran a/l Balasubramaniam (Ketua Pemuda Dewan Himpunan Pendukung PAS), Datuk Nicole Wong (Ketua Pemuda MCA Pusat), En Jason Leong (Pengerusi Association of NexGen Christians of Malaysia) dan En Tai Zee How atau lebih dikenali sebagai ApekCina, seorang peguam dan figure media sosial. 

Sambutan ini juga dimeriahkan oleh ucapan daripada Cik Loh Pai Ling (Pengerusi Buddhist Missionary Society Malaysia), En Timmy Say (penulis), Mak Khuin Weng (aktivis masyarakat), Pencetuh Ummah Akram Ikrami Taib Azamudden (Akademi Dakwah Anak Muda), Dr Muhammad Fairuz Azmi (Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia), En Muhammad Wen Rizal Abdullah (aktivis Pemuda PAS), saudara Mohd Amzar (Pengerusi Jabatan Perpaduan Nasional, GAMIS) dan saudara Seow Han Lin, seorang mahasiswa berbangsa Cina. Satu persembahan santai daripada seorang pelajar tahfiz menyanyikan satu lagu Mandarin bertajuk yue liang dai biao wo de xin (Bulan Mewakili Hatiku).

Rata-rata, tetamu yang hadir cukup teruja dengan usaha Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam mendekati dan membina jambatan dengan masyarakat bukan-Islam, termasuk parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan. Saudara Tai Zee How (ApekCina) berpandangan bahawa DPPM telah melakar sejarah yang cukup signifikan, mengumpulkan parti politik berteraskan bangsa Cina, NGO dan individu-individu berpengaruh di kalangan masyarakat Cina. Pandangan ini disokong oleh Cik Loh Pai Ling, wanita pertama yang diangkat memimpin NGO utama bagi masyarakat Buddha. En Jason Leong, Pengerusi satu NGO Kristian, yang juga pernah dinobatkan anugerah Tokoh Perpaduan di Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia pada tahun 2019 melihat bahawa DPPM sedang melangkah ke hadapan sebagai sebuah parti politik yang mampu memimpin masyarakat berbilangan kaum.

Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Malaysia, YB Senator Ir Ts Hj Khairil Nizam Khiruddin telah berkongsi mengenai pelbagai usaha perjuangan keadilan sosial terhadap masyarakat majmuk, antaranya melalui pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara dan pegawai khas kerajaan di kalangan aktivis Dewan Himpunan Pendukung PAS. Institusi Pendidikan di bawah DPPM antaranya melaksanakan pengajaran Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil bagi melahirkan generasi yang lebih mudah berinteraksi dengan masyarakat majmuk. PAS akan terus komited membawa agenda perpaduan dan keharmonian kaum demi kesejahteraan negara.

AWANGKU ALIZUL AZAHARI
Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -