Rakyat Kelantan pilih cara bersemuka bayar zakat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memperkenalkan Kaunter Baitul Mal di masjid bandar di setiap jajahan di negeri ini bermula Mei tahun lalu.

Yang Dipertua Maik Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, dalam tempoh itu sebanyak lima kemudahan tersebut disediakan.

Malah katanya Maik akan menambah lima kaunter lagi bermula tahun ini.

Beliau berkata usaha berkenaan dilakukan kerana masih ada rakyat Kelantan tidak gemar membuat bayaran zakat secara atas talian berbanding menunaikan tanggungjawab itu secara bersemuka.

- Advertisement -

“Dalam konteks Kelantan bayaran online ada tetapi peningkatan tidak mendadak, tetapi mereka masih ingin bersemuka untuk bayar, mereka tidak selesa bayar zakat online.

“Oleh itu kita perkenalkan punggutan zakat di masjid dilancarkan pada Mei 2020 iaitu di Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Machang,” katanya pada sidang media sempena laporan khas terimaan dan perbelanjaan Maik 2020 di sini hari ini.

Program itu diadakan di Dewan Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji.

Pada majlis berkenaan Maik turut menyerah sumbangan pengurusan, bantuan tahunan sebanyak RM2.5 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan RM200,000 kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Maik turut menyalurkan bantuan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat tanah runtuh di Pasir Mas kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berjumlah RM50,000.

Maik mencatat pelbagai jenis sumbangan zakat sehingga Disember 2020 berjumlah lebih RM202 juta yang dilaksana membabitkan 30 aktiviti agihan kepada asnaf layak di seluruh Kelantan.

Tengku Mohamad Rizam juga berkata, pada 2020 Maik melancarkan Program Prihatin Maik Covid-19 dengan peruntukan RM21.9 juta melibatkan tiga fasa pelaksanaan bagi membantu golongan asnaf. – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -