Sekolah patuhi SOP hari pertama SPM 2020

- Advertisement -

MACHANG: Sekolah yang menjadi pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Kelantan didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pengurusan sekolah mematuhi SOP ditetapkan.

“Saya melawat empat sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan SPM yang bermula hari ini.

“Lawatan itu di dua sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik) dan dua lagi sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri di Machang,” ujarnya di sini, hari ini.

- Advertisement -

Calon SPM berdepan dengan pematuhan SOP yang ketat ekoran penularan pandemik Covid-19. Peperiksaan tersebut yang sepatutnya diadakan akhir tahun lepas ditangguh.

Dr Fadzli juga berkata, suasana peperiksaan SPM normal baharu dapat dilihat di setiap pusat peperiksaan.

“Alhamdulillah saya sangat berpuas hati dengan pematuhan SOP yang tinggi, disiplin pelajar begitu baik sama ada di sekolah Yik atau JPN,” ujarnya.

Sekolah yang dilawati iaitu Sekolah Menengah Pangkal Melerek melibatkan seramai 122 calon. Selain itu Maahad Syamsul Maarif Perempuan Pulai Chondong membabitkan 171 calon.

Turut dilawati pusat peperiksaan di Maahad Syamsul Maarif Lelaki Pulai Chondong.

“Manakala lima calon yang dikuarantin baru-baru ini turut menghadiri peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah.

“Calon-calon lain yang dijangka keluar daripada pusat kuarantin pada 24 dan 25 Februari ini. Calon yang tidak sempat mengambil peperiksaan Kementerian Pendidikan akan menyusun semula jadual baharu untuk mereka,” katanya.

Pada 14 Februari lepas seramai 41 calon SPM di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif Covid-19.

Pelajar terbabit kemudian dikuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik). – HARAKAHDAILY 22/2/2021

- Advertisement -