Calon positif Covid-19 tidak duduki peperiksaan SPM

- Advertisement -

KOTA BHARU: Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan yang dijangkiti Covid-19 baru-baru ini tidak akan menduduki peperiksaan itu yang bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan pada tarikh yang ditetapkan kelak.

“Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan mereka ini dikumpulkan dalam satu masa dan tarikh yang sesuai untuk mengambil peperiksaan SPM ini selepas habis tempoh kuarantin.

- Advertisement -

“Berapa jumlah pelajar dan jumlah sekolah yang terlibat itu, saya tidak ada maklumat,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Jawatankuasa Kecil Keselamatan Negeri di sini, hari ini. (Foto atas)

Sebelum ini, seramai 41 pelajar di sebuah sekolah asrama di Machang disahkan positif dan ditempatkan di pusat kuarantin di Dewan Jubli Perak dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Kes berkenaan berkenaan merupakan kontak kepada Kluster Pangkal Changgong yang membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk memberi kebenaran kepada premis kedai makan untuk beroperasi sehingga jam 12.00 malam.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian keputusan jawatankuasa teknikal untuk dibawa kepada Majlis Mesyuarat Keselamatan Negeri (MKN) yang dipengerusikan Menteri Besar.

“Hari ini kita cadangkan, saya akan jumpa Menteri Besar selepas itu kita akan membuat pengumuman hari ini atau esok sebab kita kena dapatkan persetujuan.

“Kita akan umumkan beberapa SOP Kelantan agar ia sama dengan keputusan SOP Pusat, jadi antaranya ialah kita mencadangkan supaya operasi kedai dibuka sehingga jam 12.00 malam,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -