Bina kefahaman masyarakat tentang Islam melalui perayaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Chester, Selangor hari ini menerima kunjungan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Program ziarah ini adalah inisiatif Majlis Wanita Islam YADIM (MAYA) bagi meraikan Tahun Baru Cina bersama golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) berbangsa Tionghua, sekali gus memberikan kefahaman tentang Islam.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, ianya adalah program sulung MAYA yang bertujuan untuk menyantuni golongan OKU dan warga emas sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Tahun Baru Cina bukanlah perayaan yang dilarang oleh Islam bahkan kita digalakkan untuk menyantuni semua golongan tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa warga emas.

“Ia bagi menunjukkan bahawa Islam adalah satu agama yang menggalakkan persaudaraan, persahabatan dan kasih sayang,” katanya kepada pemberita semasa program ziarah berkenaan.

Turut bersama-sama di dalam program tersebut, Pengerusi Kluster Dakwah dan Saudara Baru MAYA, Dr Halimah Ali, Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dato’ Muhammad Chan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Chester Selangor, Shirley Lee, Presiden Global UNITY Network, Shah Kirit dan Pengerusi Pertubuhan Nur Fitrah, Dr Safinar Salleh.

Program yang berlangsung selama dua jam itu bermula pada jam 9 pagi hingga 11 pagi di pusat kebajikan itu turut dihadiri oleh sukarelawan MAYA terdiri daripada pelbagai kaum yang beragama Islam iaitu Cina, India serta Iban.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Kluster Dakwah dan Saudara Baru MAYA, Dr Halimah Ali berkata, harapannya agar melalui program itu dapat membuka mata rakyat di luar sana terutama generasi muda supaya dapat memupuk dan membudayakan keharmonian kaum di negara ini.

“Kita mahu melahirkan suasana muhibah antara kaum dan hormat-menghormati di antara budaya, kita nak memberikan sedikit keceriaan dalam meraikan mereka sebagai warga emas dan OKU.

“YADIM sebagai sebuah yayasan dakwah Islam ingin mengetengahkan bahawa agama Islam ini sejahtera, selamat dan aman, kita nak orang rasa kasih sayang di dalam Islam.

“Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman di dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang membawa maksud, ‘… dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain‘,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Yayasan Amal berkata, program seperti ini akan akan diteruskan di tempat-tempat lain bagi memperkenalkan Islam kepada semua masyarakat agar keharmonian dan kemakmuran terus berpanjangan.

“Kita mahu makmur bukan sehari dua tetapi kita nak lestari, bangun dan sejahtera bersama sampai bila-bila.

“Insha Allah, kami di pihak YADIM akan sentiasa berusaha untuk mensejahterakan ummah dan memberi pengetahuan tentang Islam kepada orang bukan Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, setiap penghuni di pusat kebajikan itu menerima set kit kebersihan, sumbangan dari YADIM dan keperluan barangan dapur sumbangan MACMA.

Selain itu, mereka turut meraikan sambutan ulang tahun kelahiran untuk dua orang warga emas berumur 81 dan 84 tahun dengan kek sumbangan MAYA. – HARAKAHDAILY 21/2/2021

- Advertisement -