Sugarbook: Tangkapan diharap rungkai tanda tanya

Ustaz Ahmad melihat produk yang dijual di Ir Mart.
- Advertisement -

TUMPAT: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, dengan tertangkapnya pengasas aplikasi Sugarbook, baru-baru ini diharap dapat merungkai masalah berkaitan.

Katanya, diharap hasil siasatan tersebut segala punca masalah sehingga anak muda khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terjebak dengan kes sugar daddy dapat diketahui.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Ir Mart di Taman SPP Warisan Kampung Berangan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.

“Dengan tertangkapnya orang berkenaan yang kini telahpun ditahan reman akan terbuka satu persatu sebab-sebab mengapa perkara itu berlaku.

“Kerajaan boleh mengambil tanggungjawab dengan adanya tangkapan itu akan terkeluar segala punca yang menjadi tanda tanya hingga ke hari ini,” ujarnya.

Katanya, semua pihak termasuk anggota masyarakat perlu mengambil perhatian berhubung gejala yang tidak bermoral itu.

“Adakah mungkin kerana tekanan hidup di peringkat pengajian tinggi antara yang menjadi satu sebab mereka terpedaya untuk mendapatkan kesenangan dengan mudah, ditambah pula dengan tiada didikan agama akan memudahkan lagi perkara itu berlaku,” ujarnya.

Dua hari lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai pengasas Sugarbook telah ditahan polis untuk membantu siasatan.

Berikutan itu sebuah keluarga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas terhadap pengasas itu kerana menggunakan gambar anak mereka sebagai iklan di aplikasi tersebut. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -