Mat Taib, Khir Toyo jangan terikut rentak musuh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin parti politik Melayu Islam harus sedar dan berusaha bersama dalam mengukuh dan memperkasakan muafakat bersama, kata Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

- Advertisement -

Beliau berkata, ini demi masa depan dan kepentingan politik dan pembangunan negara ini dalam kerencaman kaum dan anutan agama.

Menurutnya, PAS dan Umno merupakan pengasas dan tonggak utama Muafakat Nasional dimeterai, maka tidak timbul isu PAS perlu memilih sama ada MN atau Perikatan Nasional (PN).

“PAS mahukan MN terus diperkasakan dan kerajaan PN dipertahankan menerusi gabungan PN Plus agar kerajaan dapat dibentuk dalam keadaan lebih selesa selepas PRU15,” ujarnya dalam coretan menerusi Dari Jendela Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang juga disiarkan dalam laman Facebook PAS Selangor, hari ini.

Kata beliau, sepatutnya tiada pemimpin yang berjiwa besar dan bijaksana membawa naratif MN di ambang perceraian atau mempertikaikan keikhlasan PAS dalam koliasi MN.

Justeru, beliau mengharapkan Penasihat Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohammad Khir Toyo terus menumpukan untuk memperkukuhkan bersama perpaduan Melayu dan Islam agar rakyat bersatu padu dan pemimpin parti lebih berlapang dada.

“Jangan terlalu terikut rentak musuh,” ujarnya yang juga Adun Sijangkang.

Beliau menambah, PAS Selangor akan terus memacu perpaduan ummah dan ini telah dibuktikan dengan pertemuan bersama PAS, Umno dan Bersatu, baru-baru ini di Shah Alam. – HARAKAHDAILY 20/2/2021

- Advertisement -