Ahli parlimen sumbang 300 tablet pelajar miskin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 100 pelajar cemerlang daripada keluarga miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor menerima tablet disampaikan wakil rakyat.

Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar berkata bantuan tablet diagih bagi kegunaan pelajar mengikuti pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) disumbang Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Menurutnya, tablet tersebut sebahagian daripada 300 yang disumbang Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga miskin.

- Advertisement -

Manakala 200 tablet lagi disumbang kepada pelajar miskin di Dun Demit dan Pasir Tumboh.

“Setiap Dun menerima 100 tablet termasuk Salor untuk disampaikan kepada pelajar yang dikenal pasti miskin dan cemerlang,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tablet kepada pelajar di Wisma Tok Guru di Mukim Pendek, semalam.

Saiful Adli berkata, sehingga sekarang seramai 70 pelajar di Dun Salor menerima bantuan itu yang diagihkan dari rumah ke rumah.

Sementara itu seorang pelajar yang menerima tablet terbabit Muhammad Adam Ruslan Juhari, 16 berkata, tablet tersebut akan digunakan bagi mengikuti PdPR ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Beliau yang yang merupakan anak keempat daripada lima adik beradik belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mulong.

Adam kehilangan bapanya beberapa tahun lalu, tinggal bersama ibunya Faizah Mamat di Kampung Lubok Jambu.

“Ibu saya terpaksa membuat pelbagai kerja termasuk menoreh getah dan mengambil upah cuci rumah penduduk kampung bagi menyara kehidupan keluarga.

“Saya gembira dengan bantuan ini kerana hendak beli sendiri sudah tentu tidak mampu. Saya rasa lebih bersemangat untuk ikuti PdPR selepas ini,” katanya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -