Tidak lagi niaga selepas kesihatan suami makin merosot

- Advertisement -

TUMPAT: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu yang boleh digambarkan bebanan ujian yang terpaksa dihadapi ibu muda, Norzulyana Jusoh, 38.

Suaminya Bakhri Ibrahim, 46, mengidap penyakit kronik. Injap jantungnya bocor dan kesihatannya semakin merosot sekarang.

Norzulyana mengambil alih tugas suami bagi mencari rezeki. Suka atau sebaliknya ujian itu perlu ditelan sepenuhnya.

Tugasnya kadang-kadang dibantu dua anaknya berusia lima dan 21 tahun bagi menjaga ayah mereka. Setiap pagi beliau menguruskan suaminya dengan memandi dan menyediakan sarapan.

- Advertisement -

“Kalau dia (suami) nak buang air besar, saya terpaksa papah dia ke bilik air dengan dibantu anak sulung.

“Kalau buang air kecil hanya di atas katil saja dengan menggunakan bekas khas,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu baru-baru ini.

Keluarga terbabit juga beruntung apabila sentiasa mendapat perhatian Adun Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.

Baru-baru ini wakil rakyat terbabit menyampaikan katil wakaf untuk kegunaan Bakri. Bakri sudah lama menghadapi masalah injap jantung bocor, namun semakin kronik tahun lalu.

Pernah terlantar di Hospital Raja Perempuan Zainab ll Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Norzulyana juga berkata, beliau meneruskan perniagaan suaminya dengan menjual roti canai berdekatan Masjid Pasir Pekan.

Bagaimanapun selepas suaminya melakukan pembedahan injap jantung beliau tidak dapat keluar berniaga roti canai, namun sewa kedai berkenaan tetap dibayar RM200 sebulan.

Beliau juga bernasib baik apabila ibu dan adik beradiknya sering membantu. Begitu juga saudara mara sering datang ziarah dan menghulurkan sumbangan.

“Dari situlah saya dapat berbelanja untuk membeli keperluan harian, bayar sewa kedai dan rumah setiap bulan. Saya reda jika inilah ujian Allah berikan kepada kami sekeluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Rusli begitu bersimpati nasib yang menimpa keluarga terbabit sehingga isteri sanggup mengambil tugas mencari nafkah bagi menyara keluarga.

Tambahnya, sikap berkenaan amat wajar dicontohi mereka yang senasib dengannya.

“Sehingga sekarang sudah tiga kali saya dan petugas Pusat Khidmat Dun datang menziarahi Bakri termasuk menyumbang katil pesakit bagi kegunaannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 19/2/2021

- Advertisement -