Warga emas sempat selamat diri sebelum rumah runtuh

- Advertisement -

PASIR MAS: “Mak cik reda, sebab Allah bagi pinjam dan tidak mengapa Allah ambil sekejap dan nanti Allah ganti semula,” luah seorang penduduk yang kehilangan rumah akibat tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi, semalam.

Wan Khadijah Wan Ibrahim, 77, yang tinggal bersama anaknya sempat meninggalkan lebih awal rumahnya sebelum rutuhan tebing berlaku bagi menyelamatkan diri.

Bagaimanapun beliau meluahkan rasa syukur kerana tiada kemalangan nyawa berlaku pada kejadian berkenaan.

- Advertisement -
Wan Khadijah

Namun beliau, tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen dan peralatan penting sebelum rumahnya runtuh ke dalam sungai.

“Tidak sempat ambil semua barang-barang, yang makcik tahu waktu itu mahu selamatkan diri sahaja,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan daripada kerajaan negeri di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, hari ini.

Pada kejadian tanah runtuh di kampung berkenaan awal semalam sebuah rumah terhumban bersama runtuhan tebing ke dalam sungai, manakala tiga lagi turut rosak.

Sebuah kereta juga terhumban ke bawah tebing bersama runtuhan rumah. Manakala 15 keluarga lagi diarah berpindah segera selepas runtuhan tebing Sungai Kelantan semakin melebar.

Wan Khadijah tinggal berpuluh tahun di kampung tersebut terkejut dengan kejadian buat kali pertama berlaku sepanjang tinggal di situ.

Buat sementara waktu beliau sekarang menumpang di rumah anaknya di Kampung Kubang Panjang, tidak jauh dari situ.

Mangsa yang terbabit dengan kejadian terbabit menerima bantuan awal disampaikan anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Adun Pengkalan Pasir, Dato’ Hanifa Ahmad semalam. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -