Perkahwinan campur faktor Kesultanan Melaka gemilang

Dr Asiah Ali
- Advertisement -

DALAM Islam konsep masyarakat mempunyai pengertian dan tafsiran yang tertentu. Ini dapat diperhatikan dengan berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah serta pandangan para ulama juga sarjana-sarjana Islam.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi masyarakat Islam ialah masyarakat yang berdiri di atas aqidah dan pemikiran Islam yang akan melahirkan sistem, undang-undang, moral dan akhlak Islam.

Justeru, masyarakat Islam ialah masyarakat yang mengambil seluruh ajaran Islam sebagai cara hidup, sumber hukum, pegangan dalam setiap aspek kehidupan.

Sayyid Qutb pula menjelaskan bahawa masyarakat dan kebudayaan Islam ialah masyarakat yang melaksanakan cara hidup Islam secara total yang bertitik tolak daripada asas aqidah, ibadah, undang-undang, moral dan cara hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat Islam.

- Advertisement -

Masyarakat dalam bentuk seperti ini adalah masyarakat bertamadun. Firman Allah bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” – (Al Hujurat 49: ayat 13)

Pembentukan kepelbagaian masyarakat

Sejarah kepelbagaian masyarakat di Malaysia dibuktikan melalui perkembangan dan kegemilangan peradaban Alam Melayu sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka.

Interaksi dengan kepelbagaian tamadun luar berlaku sejak abad ke-5 Masihi melibatkan interaksi pelbagai budaya masyarakat serata dunia seperti Arab pra-Islam, Hinduisme, Buddhisme, Arab Islam dan Eropah yang terdiri daripada Portugis, Sepanyol, Belanda dan British.

Pertemuan dan pertembungan ini melahirkan satu ciri fenomena sosial yang disebut sebagai pluraliti budaya. Alam Melayu sekitar abad ke-15 menjadi tumpuan utama dunia.

Melaka merupakan sebuah negeri yang dikenali kerana keunikan sejarahnya dan kaitannya dengan pusat perdagangan dunia serta pusat perkembangan Islam di Asia Tenggara.

Kegemilangan Melaka dikaitkan dengan peranan dan sumbangan Melaka, iaitu sebagai pusat perkembangan Islam di Nusantara seterusnya ke daratan Asia Tenggara, penggunaan Bahasa Melayu sebagai elemen perkembangan Islam dan juga kerajaan Melaka yang memperkukuhkan persaudaraan bangsa Melayu dan perpaduan dengan bangsa lain (Khoo, 1982).

Terdapat beberapa faktor geografi yang membawa kepada kegemilangan tersebut antaranya ialah:

Pusat Perdagangan Utama Melaka dikenali sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur sehingga mendapat gelaran sebagai The Venice of The East (Shamsul Amri, 2012).

Kedatangan pedagang Arab dan Timur menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entreport serta tumpuan persinggahan ratusan kapal setiap tahun.

Lokasi Melaka terletak pada kedudukan yang strategik, iaitu di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan timur menjadikannya tempat yang sesuai sebagai pusat perdagangan.

Ribuan kapal pedagang berulang-alik melalui pelabuhan Selat Melaka.

Pemerintahan diplomasi

Melaka didorong oleh kehebatan sultan dan pembesar yang berpandangan jauh serta mempunyai misi dan visi yang hebat. Pemerintahan dijalankan penuh diplomasi dan terbuka yang boleh dibuktikan melalui pelantikan orang India sebagai pegawai di istana.

Bahkan keterbukaan juga dilihat melalui perkahwinan campur antara masyarakat tempatan dan orang luar, umpamanya perkahwinan pemerintah Melaka dengan anak perempuan pemerintah China (Shamsul Amri, 2012).

Kecekapan pengurusan dan pentadbiran Melaka dibuktikan melalui sistem Pembesar Berempat dan perundangan berunsurkan Islam.

Melaka diperintah oleh raja yang bijaksana dengan sistem pentadbiran yang sangat tersusun dan dibantu empat pembesar, iaitu Bendahara, Penghulu Bendahari, Temenggung dan Laksamana.

Di samping itu, hubungan diplomatik juga diperlihatkan menerusi hubungan Melaka dengan kuasa kuasa seperti China, India, Siam dan Jawa.

Oleh yang demikian, interaksi bersama kuasa-kuasa tersebut membawa kepada pembentukan fenomena masyarakat berbilang bangsa di Melaka.

Keistimewaan Islam

Keistimewaan ajaran Islam kemurnian ajaran Islam yang mencakupi kesemua bidang kehidupan menarik orang ramai memeluk agama Islam.

Antara ajaran yang menarik ialah konsep Tuhan Yang Maha Esa atau Tauhid, keadilan, hak individu dan masyarakat, kehidupan yang harmoni, menyanjung akhlak mulia dan menganjurkan konsep kebahagian hidup di dunia dan akhirat.

Perkara ini menyebabkan agama Islam diterima baik dan tersebar luas ke Asia Tenggara, termasuk di Melaka.

Perkahwinan di Alam Melayu, sebelum kedatangan pentadbir Eropah, perkahwinan campur menjadi faktor kepada kemuncak kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Perkahwinan bukan sahaja meluaskan hubungan diplomatik antara negara sebagaimana perkahwinan Sultan Mansur Shah dengan puteri pemerintah negara China, bahkan perkahwinan antara para pedagang dengan masyarakat tempatan turut membawa kepada kegemilangan Islam di Melaka.

Pengislaman masyarakat tempatan menjadikan kelompok umat Islam semakin membesar melalui perkahwinan antara masyarakat tempatan dengan para pedagang.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah panduan asas kepada pelaksanaan sistem politik di Malaysia.

Perlembagaan merupakan lanjutan daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada tahun 1948. Kontrak sosial menjadi satu isu utama yang diberi perhatian dalam penggubalan perlembagaan negara.

Sejarah mencatatkan bahawa kontrak sosial telah wujud ketika zaman Alam Melayu lagi. Masyarakat pluraliti meletakkan kedudukan raja sebagai simbol utama sesebuah pemerintahan dan perlu dihormati serta ditaati.

Bagi masyarakat pluralistik pula, kontrak sosial berlaku dalam konteks ke arah mencapai kemerdekaan negara sebagaimana yang disyaratkan oleh pemerintah kolonial ke atas masyarakat Tanah Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Persepakatan kaum ke arah kemerdekaan perlu berlandaskan hubungan perpaduan yang erat.

Sistem pendidikan selepas negara mencapai kemerdekaan pada Ogos 1957, antara aspek yang diberi penekanan ke arah memupuk perpaduan negara ialah pendidikan.

Pendidikan sebelum merdeka yang terpisah dan terasing menyebabkan kesemua kaum di Tanah Melayu gagal mengenali antara satu sama lain.

Namun begitu, sistem ini berubah apabila corak pendidikan dilaksanakan berasaskan unsur-unsur tempatan yang meliputi kurikulum, sukatan mata pelajaran dan orientasi pembelajaran.

Pendidikan menjadi wadah utama dalam usaha menyatukan kaum yang terdiri daripada kepelbagaian budaya, nilai dan normal masyarakat bagi membentuk identiti kebangsaan Malaysia.

Kesimpulan

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik serta budaya. Justeru itu, suatu usaha perlu digembleng bagi memastikan perpaduan antara seluruh rakyat Malaysia tercapai.

Soal perpaduan dan permuafakatan sangat penting dalam sesebuah negara yang majmuk kerana perpaduan itu menjadi tonggak kepada kemajuan serta kestabilan dalam aspek seperti politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Sesungguhnya, agama merupakan unsur penting dalam kehidupan seharian manusia di muka bumi ini kerana ia melibatkan aspek kepercayaan yang akan membentuk cara hidup manusia secara keseluruhannya. Agama juga sentiasa berperanan sebagai pendorong kepada manusia untuk melakukan kebaikan.

Begitu juga dalam konteks hubungan etnik. Islam sama sekali tidak melarang umatnya melakukan kebaikan walaupun berlainan etnik, bangsa, agama dan keturunan. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

Penulis merupakan Pengarah ILHAM PAS Pusat.

- Advertisement -