Program vaksinasi bukan tiket desak sidang parlimen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Program vaksinasi terbesar yang akan dilaksanakan kerajaan bermula 26 Februari ini bukan tiket mendesak kerajaan mengadakan persidangan parlimen.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah berkata, program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai usaha kerajaan melindungi penduduk daripada jangkitan Covid-19.

Katanya, program vaksinisasi itu dijangka selesai pada awal tahun hadapan.

“Jadi kita meminta wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang supaya bersabar sehingga program vaksinisasi selesai sepenuhnya.

- Advertisement -

“Lebih baik mereka fokus kepada permasalahan rakyat daripada terus mendesak kerajaan mengadakan persidangan Dewan Rakyat sehingga ada yang sanggup melobi ahli parlimen dari luar negara,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menyifatkan kerajaan tidak mempunyai sebab Dewan Rakyat tidak bersidang selepas semua ahli parlimen dan Adun menerima vaksin.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata program vaksinasi melibatkan tiga fasa.

Fasa pertama vaksinasi bermula akhir bulan ini melibatkan setengah juta vaksin untuk petugas barisan hadapan.

Fasa itu dijangka berakhir pada Mei dengan dos yang pertama dan lepas itu akan diadakan masa 21 hari sebelum diberikan dos kedua.

Fasa kedua pula melibatkan golongan rentan iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Dan fasa ketiga pula melibatkan semua rakyat Malaysia.

Mohd Ariff juga berkata, walaupun kerajaan melaksanakan proses vaksinasi namun ia bukan selesai dalam tempoh singkat untuk bebas bergerak ke mana sahaja. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -