PAS tetap pertahan prinsip bantah industri judi

- Advertisement -

KANGAR: Biarpun sudah menjadi sebahagian daripada komponen Kerajaan Persekutuan sekarang, namun PAS tetap mempertahankan prinsip membantah industri judi dibenar beroperasi semula.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob menegaskan pembukaan sektor judi akan memburukkan lagi keadaan dengan suasana wabak yang berlaku sekarang.

Katanya, di mana-mana negara umat Islam mereka bermuhasabah dan bermunajat kepada Allah SWT supaya diangkat bala wabak Covid-19.

- Advertisement -

“PAS sentiasa istiqamah membantu membetulkan kesilapan kerajaan tambahan pula dalam isu judi yang sudah terang lagi bersuluh haram di sisi agama Islam dan agama lain.

“Tindakan kerajaan membuka semula kasino walaupun terhad kepada ahli kumpulan tertentu sahaja jelas tidak memberikan apa-apa manfaat kepada ekonomi negara.

“Malah implikasi perjudian akan membawa kepada kecelakaan sosial seperti keganasan rumah tangga, pergaduhan dan masalah ekonomi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini syarikat pengendali kasino, Resort World Genting dan syarikat nombor ramalan mengumumkan akan memulakan operasi selepas mendapat kebenaran kerajaan setelah berakhir perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Pengumuman itu dibuat Resort World bersama syarikat Sports Toto, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) melalui media sosial serta laman sesawang masing-masing.

Sedangkan ketika PKP 2.0 yang bermula 13 Januari syarikat perjudian tidak dibenarkan menjalankan aktiviti masing-masing.

Oleh itu, Idris berharap kerajaan tidak membenarkan pembukaan semula sektor perjudian walaupun setelah pandemik berakhir. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -