Presiden PAS teguh depani cabaran politik

politik
- Advertisement -

MENGAJAK manusia kembali kepada Allah, melalui medan politik adalah seperti keputusan yang menyusahkan diri sendiri. Tiada sesiapa yang selesa jika kita tegas menegur perkara maksiat yang orang suka lakukan. Terutamanya untuk ulamak yang alim dan warak.

Kebiasaannya mereka akan lebih disanjung dan dipuja jika hanya memilih jalan ilmu dan dakwah, yang pastinya akan lebih menonjolkan sisi-sisi kebaikan mereka kepada manusia. Saya faham kerana saya juga berada dalam jalan dakwah dan politik yang sama walaupun pengalaman saya tidaklah seberapa jika mahu dibandingkan dengan Tuan Guru Presiden. 

- Advertisement -

Tidak tergambar rasanya kepada kita, ujian beliau yang penuh kiri dan kanan, dengan hinaan dan kata-kata nista orang yang tidak kenal tetapi prejudis, Tuan Guru Presiden tetap tenang tersenyum dan berpesan supaya kita semua membaca al-Quran. Kata beliau, mudah-mudahan kisah para Rasul yang sarat pedoman mampu menjadi sebaik-baik pengajaran untuk hati yang beriman. 

Ketika sekali-sekala PAS berkocak dibadai krisis dalaman, Tuan Guru Presiden tetap teguh mengemudi parti, agar anak-anak kapal tidak terjun lari. Apabila anak bangsa ini bertelagah, Tuan Guru Presiden tidak terus menyerah kalah. 

Pantas sahaja beliau menyusun langkah politik untuk menyatukan ummah, supaya kita orang Melayu tidak mudah diperintah oleh pemikiran dan budaya yang bercanggah dengan Islam. Ketika mana Ahli Parlimen PAS diberi peluang berkhidmat melalui jalan kuasa dan amanah, bait-bait pesanan Tuan Guru Presidenlah yang menjadi pedoman.

Nasihatnya sarat dengan ingatan, jangan sesekali pisahkan agama dan pemerintahan. Walaupun tentangan luar dan dalam akan menjadi semakin berat, beliau tetap mengulang pesan agar kami semua jangan gundah, selagi beriman takutkanlah Allah.

Sama seperti ahli-ahli PAS yang lain, saya juga mendoakan agar Tuan Guru Presiden diberikan kesembuhan. Sesungguhnya, kami semua dambakan pimpinan dan tunjuk ajar Tuan Guru Presiden. Semoga Tuan Guru Presiden terus kuat untuk memimpin bahtera sejahtera ini. Insya-Allah

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -