Pemuda PAS mahu aktiviti judi, persundalan dibanteras

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) mahukan industri berunsur maksiat seperti judi dan persundalan zina di negara ini dibanteras.

Ketuanya, Mohd Nasir Abdul Razak berkata, Pemuda PAS melihat industri maksiat judi dan zina yang sedang berakar dalam masyarakat mesti dibanteras secara berperingkat dan agresif.

Ini kerana, katanya dalam Islam kedua-dua aktiviti itu merupakan dosa yang wajib dijauhi dan dihalang oleh semua pihak daripada terus berlaku di negara ini.

- Advertisement -

“Jika tidak, negara kita (Malaysia) akan berhadapan dengan masalah sosial yang menggugat keharmonian masyarakat.

“Ketika ini juga pihak kami (PAS) berjaya menubuhkan Skuad Amar Ma’aruf Nahi Mungkar sebagai tenaga sukarelawan bagi membanteras maksiat di Terengganu.

“Semua pihak sama ada kerajaan, swasta, orang persendirian, NGO (Badan Bukan Kerajaan) dan ibu bapa mesti memainkan peranan di peringkat masing-masing untuk membanteras maksiat zina dan judi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakah, hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Urusetia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) menyokong, desakan agar kebenaran beroperasi bagi sektor perjudian termasuk kasino ditarik balik oleh kerajaan.

“Dewan Pemuda PAS Terengganu juga mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, yang telah mengambil inisiatif bertemu dengan Menteri Dalam Negeri berkaitan isu Sugarbook.

“Berkait soal kebenaran beroperasi operator perjudian pula. Pemuda PAS telah menggesa kerajaan mempertimbangkan semua kebenaran itu dan perkara ini telah disampaikan kepada Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Kami (Pemuda PAS) juga mendesak agar kebenaran beroperasi ini dapat ditarik balik,” tegasnya.

Menurut Mohd Nasir, matlamat dan pendirian Pemuda PAS jelas mahukan semua industri yang berunsur maksiat itu dihapuskan dalam negara ini.

Sebelum ini, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu telah membuat laporan polis terhadap pengendali laman web dan aplikasi Sugarbook.com di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuala Terengganu. – HARAKAHDAILY 18/2/2021

- Advertisement -