Dr Khairudin lawat rumah IBS Kenaf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengadakan lawatan ke rumah Industrialised Buiding System (IBS) Kenaf di pusat pemprosesan fiber kenaf, Gual Mesa, Rantau Panjang, Kelantan hari ini.

Program lawatan itu diadakan untuk meninjau perkembangan dan melihat dengan lebih dekat rumah IBS kenaf yang dibina dengan teknologi IBS.

Menurut beliau, sistem IBS merupakan kaedah baharu dalam sektor pembinaan sementara teknologi itu pula sedang giat dikembangkan dalam industri pembinaan berasaskan kenaf di Malaysia.

- Advertisement -

“Sistem ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos pembinaan malah ia turut menjimatkan tenaga kerja, masa dan logistik,” jelasnya.

Sehubungan itu, kata Khairuddin, kementerian melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan terus meningkatkan kebolehpasaran produk dan meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran.

“Usaha berterusan akan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri termasuklah pembinaan,” ujarnya pada satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pada pertengahan tahun 2019 LKTN telah membina sebuah rumah IBS kenaf bertempat di Gual Mesa, Rantau Panjang, Kelantan dengan keluasan 660 kaki persegi yang dilengkapi 3 bilik tidur, satu ruang dapur, satu ruang tamu dan bilik air.

“Tempoh pembinaan rumah itu mengambil masa selama sebulan dan kos pembinaan rumah ialah RM55,000.00.

“Sebanyak lima tan core kenaf diguna bagi pembinaan sebuah rumah IBS Kenaf dengan keluasan 660 kaki persegi. Jumlah ini bersamaan dengan jumlah core bersih yang dihasilkan bagi satu hektar tanaman kenaf.

“Kementerian menggalakkan pembinaan rumah mampu milik menggunakan core kenaf dengan kos RM55,000 dengan keluasan 660 kaki persegi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata LKTN turut bercadang memperluaskan kawasan tanaman kenaf di Rantau Panjang daripada 200 hektar sekarang kepada 500 hektar bermula tahun 2021 bagi mengiatkan lagi industri pembinaan rumah mampu milik ini.

“Pihak Kementerian melalui LKTN akan menggalakan pekebun-pekebun kecil sawit dan getah untuk membuat tanaman selingan semasa proses penanaman semula tanaman sawit dan getah.

“Ini adalah untuk memberi pendapatan kepada pekebun kecil semasa menunggu tanaman sawit dan getah matang dan dapat mengeluarkan hasil.

“Anggaran pendapatan kenaf yang diperolehi oleh pekebun kecil yang mengusahakan tanaman kenaf ialah RM 5,000 sehektar bagi tanaman semusim dengan unjuran hasil sehektar ialah 10 tan batang kenaf kering,” ujarnya.

- Advertisement -