Umat Islam usah ragui vaksin Covid-19

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Umat Islam di negara ini tidak perlu meragui mengenai vaksin Covid-19 yang akan diedarkan kepada rakyat bermula akhir bulan ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan sudah memberi jaminan tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan prinsip Islam.

Katanya, umat Islam wajib menerimanya berdasar beberapa prinsip asas yang ditetapkan dalam agama.

- Advertisement -

“Ini termasuk menjaga keharmonian Islam, kesihatan, harta benda, nyawa dan sektor ekonomi,” katanya kepada pemberita pada Program Info On Wheels (Low) Kempen Pematuhan SOP Covid-19 di Bandar Baru Pasir Puteh di sini, hari ini.

Sebelum ini, ada segelintir pengamal perubatan didakwa cuba memanipulasi orang ramai dengan menyebar maklumat tidak tepat mengenai vaksin Covid-19.

Dr Nik Zawawi yang juga ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, ancaman Covid-19 yang mengancam negara sekarang boleh meruntuhkan prinsip-prinsip asas berkenaan sekiranya tidak dibendung dengan segera.

“Ia menghalang umat Islam daripada menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan memutuskan silatulrahim apabila tidak boleh berhubung dan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai yang mengalami sesuatu musibah,” katanya.

Kata beliau juga rakyat tanpa mengira agama dan bangsa perlu bertenang dan menerima vaksin berkenaan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) tanpa berdolak dalik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Azahar Ismail berkata, bermula hari ini pihaknya memasang 400 banner dan kain rentang diplomasi darurat di tepi-tepi jalan serta di tempat awam di seluruh Kelantan.

Katanya, diplomasi darurat bukan bukan untuk kepentingan politik mana-mana pihak, sebaliknya bagi menjaga keselamatan rakyat daripada ancaman pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -