FAMA bantu jual nanas Moris Johor RM1 sebiji

Foto hiasan.
- Advertisement -

JASIN: Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) membantu menjual buah nanas jenis Moris dari Johor dengan harga serendah RM1 sebiji bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan itu di pasaran.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazalee Muhammad berkata penjualan nanas dengan harga rendah adalah antara langkah diambil FAMA Melaka dan Johor untuk membantu pekebun-pekebun yang terjejas mendapat pulangan setimpal.

- Advertisement -

Beliau berkata sebanyak 6,000 biji nanas jenis Moris telah terjual dalam masa dua jam pada Program Promosi Nanas Moris Johor yang diadakan di Pasar Tani di Jalan Rim, di sini.

“Selain itu, bagi mengatasi isu lambakan nanas tersebut, kami juga telah mengadakan pengaturan pasaran dengan pemborong buah-buahan tempatan, usahawan Industri Kecil Sederhana dan Industri Asas Tani bagi penyediaan kuih raya serta biskut raya.

“Pelbagai aktiviti melibatkan produk berasaskan nanas Moris turut diadakan termasuk demonstrasi masakan dan penghasilan jus,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan hari ini.

Menurut Ghazalee hingga Isnin lepas, FAMA Johor telah membeli 118.17 metrik tan nanas Moris bernilai RM60,207 dan bekalan itu diagihkan kepada FAMA Melaka untuk dipasarkan di semua rangkaian agensi itu termasuk Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat, gerai buah-buahan segar dan pasar tani.

“Sebagai mengatasi isu lambakan ini, FAMA dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) juga menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun terjejas menerusi pembelian bekalan dan pemadanan bersama kilang pengetinan,” katanya.

Pada Isnin lepas, Bernama melaporkan isu pasaran buah nanas jenis Moris yang dikatakan tidak dapat dijual di Johor melibatkan pekebun-pekebun tidak berdaftar, sekali gus menyebabkan perkara itu berada di luar pengetahuan LPNM.

Pengerusi LPNM, Datuk Dr Sahruddin Jamal dipetik sebagai berkata pihaknya memandang serius perkara itu yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di daerah Batu Pahat, Kluang dan Pontian. – BERNAMA

- Advertisement -