Rasuah mendatangkan kemurkaan Allah

- Advertisement -

DARI segi bahasa rasuah adalah perkataan Arab berasal dari kata kerja rasya yang bermakna memasang tali pada baldi atau menyuapkan anak ayam ketika menjulurkan kepalanya kepada ibunya untuk mendapat makanan. Dari segi istilahnya, ulamak telah memberikan takrifan yang berbagai-bagai.

Antaranya rasuah adalah menghulurkan suatu sama ada berupa harta atau bukan bagi mendapatkan pertolongan daripada seseorang untuk sesuatu tujuan.

Kedua, suatu pemberian kepada penerima rasuah setelah ia diminta. Dan satu lagi takrifan rasuah adalah pemberian sesuatu yang berharga kepada seseorang untuk menyampaikan hajatnya.

Takrif daripada Ibnu Abidin menyebutkan bahawa rasuah ialah suatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau seumpamanya supaya hakim itu membuat keputusan yang menyebelahi pemberi rasuah. (Khasiat jilid 5: 362)

- Advertisement -

Ada kaitan yang rapat antara makna dari segi bahasa dengan rasuah dari segi istilahnya kerana rasuah dihulurkan untuk mendapat pertolongan bagi menentukan hajatnya dan rasuah itu seumpama tali yang diikat pada baldi untuk mendapat air atau seperti anak ayam yang menghulurkan kepalanya untuk mendapat sesuap makanan dari ibunya.

Tiga perkara asas dalam rasuah

i) Al Murtasyi

Penerima rasuah daripada orang lain sama ada berupa wang ringgit atau manfaat untuk menyampaikan hajat yang tidak syarie sama ada berbentuk tindakan atau menghalang dari melakukan suatu amalan.

ii) Ar Rasyi

Orang yang memberi rasuah sama ada berupa harta atau manfaat untuk mencapai tujuan tertentu

iii) Ar Rasuah

Barang rasuah sama ada wang ringgit atau manfaat yang disogokkan untuk dilakukan oleh penerima rasuah bagi menyampaikan hajat yang tidak syarie.

Jenis-jenis rasuah

Rasuah untuk membatalkan hak atau untuk mendapatkan suatu yang bukan haknya. Dalam Islam bahawa yang halal itu sudah jelas dan nyata begitu juga yang haram pun sudah jelas dan nyata.

Begitu juga yang hak dan yang benar adalah kekal dan tetap manakala yang batil akan lenyap dan hilang. Jika rasuah itu dijadikan salah satu cara untuk membatalkan yang hak atau mendapatkan yang batil maka Islam mengharamkan rasuah kerana ianya adalah pendapatan yang diharamkan.

Sepertimana juga ianya berdosa kepada pemberi rasuah dan kepada yang menerima rasuah malahan juga ada orang tengah terlibat maka dia juga adalah sama mendapat dosa.

Pemberi rasuah lebih besar dosanya daripada pembayar kepada pelacur

Tidak syak lagi bahawa menyogokkan harta atau manfaat untuk mendapatkan suatu yang dilarang syarak adalah antara cara-cara yang paling buruk dan keji bahkan pemberian rasuah untuk mendapatkan yang bukan haknya itu mungkin lebih besar dosanya daripada harga yang dibayar kepada pelacur untuk dapat habuan seketika.

Kerana rasuah bertujuan untuk mengambil harta orang lain itu boleh mendatangkan mudarat kepada orang lain dibandingkan dengan bayaran kepada pelacur untuk mendapat habuan seks kerana perbuatan zina adalah dosa antara dia dengan tuhannya dan jika dia sungguh-sungguh bertaubat, insya-Allah akan diterima taubatnya.

Tetapi dosa kerana rasuah ianya bukan sahaja melibatkan dengan penciptanya tetapi melibatkan masyarakat dan negara. Maka perbezaan antara dosa berzina dengan dosa rasuah adalah sangat jauh bezanya.

Sebagai contoh jika hakim atau kadi menerima rasuah untuk memutuskan keputusan yang tidak betul, maka hakim tersebut boleh dianggap sebagai fasik (jahat) kerana mengambil rasuah adalah mengambil harta yang haram kerana hendak menolong suatu yang tidak hak. Maka perbuatan hakim itu menjadi seorang yang fasik. Dan menjatuhkan hukuman yang tidak hak adalah nyata haramnya dan hakim itu boleh dipecat kerana melakukan perbuatan yang diharamkan.

Rasuah untuk mendapatkan pangkat dan jawatan

Menjadi suatu kewajiban untuk memilih seorang pemimpin yang amanah, istiqamah dan berkelayakan. Oleh sebab itu jika rasuah digalakkan untuk mendapatkan pangkat dan jawatan sehingga menyebabkan orang yang tidak berkelayakan dan tidak amanah dipilih dan dilantik maka perbuatan untuk mendapat pangkat dan jawatan adalah diharamkan dalam Islam.

Hal seperti ini yang kerap berlaku lebih-lebih lagi dalam musim pilihan raya baik pilihan raya umum, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil. Pada musim kempen pilihan raya inilah parti-parti politik masing-masing menaburkan janji pilihan raya dengan bermacam-macam projek terutamanya dari pihak parti yang memerintah dengan menaburkan projek semacam mee segera. Sepatutnya projek-projek seperti itu tidak sepatutnya dijanjikan masa pilihan raya kerana memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melakukan projek-projek yang diperlukan oleh rakyat.

Banyak dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang mengharamkan rasuah kerana hendakkan jawatan dan pangkat dalam sebuah masyarakat dan negara. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukuman diantara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (An Nisa: 58)

Memberi rasuah untuk mendapatkan kedudukan dan jawatan boleh menyebabkan pemberi jawatan kepada orang yang tidak berkelayakan adalah bertentangan dengan perintah Allah yang menyuruh supaya tunaikan amanah kepada ahlinya.

Firman Allah yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu sedangkan kamu mengetahui salahnya.” (Al Anfal: 27)

Sesungguhnya pemberi rasuah untuk mendapat jawatan dan pangkat membawa kepada melakukan khianat kepada Allah dan RasulNya hingga menyebabkan penerima rasuah diberi pangkat dan jawatan yang tidak selayaknya. Maka pemberi harta dalam keadaan seperti itu dianggap sebagai rasuah yang diharamkan.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “Barangsiapa yang melantik seseorang suatu jawatan sedangkan dari kalangan orang ramai ada yang lebih layak maka sesungguhnya dia telah khianat kepada Allah dan Rasul-Nya dan jemaah Islam seluruhnya.

Oleh itu, pemberi rasuah untuk mendapat pangkat dan jawatan membawa erti menyerahkan jawatan dan kedudukannya kepada mereka yang tidak berkelayakan. Perbuatan ini membawa kepada penipuan dan khianat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mendapat kuasa melalui rasuah boleh dianggap sebagai mengambil kekuasaan yang bukan haknya dan mereka itu akan menyesal dan merasa dihina di akhirat nanti.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud; “Apabila dicabut amanah maka tunggulah datangnya hari kiamat.”

Nabi Muhammad s.a.w ditanya; “Bagaimana tercabutnya amanah? Rasulullah menjawab; “Jika diserahkan urusan (negara) kepada bukan ahlinya maka tunggulah hari kiamat. Ijmak Ulamak menyebutkan bahawa menyerahkan kekuasaan kepada yang hak dan berkelayakan adalah wajib. Manakala menyerahkan melalui rasuah bererti menyerahkan kekuasaan kepada mereka yang tidak berhak adalah haram.

Oleh itu dengan menyogokkan rasuah untuk mendapatkan jawatan dan pangkat dalam sebuah negara adalah diharamkan. (bersambung) – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -