Perlu positif bantu kerajaan bendung Covid-19

- Advertisement -

KANGAR: Rakyat negara ini hendaklah sentiasa memandang positif terhadap usaha kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Perlis, Dr Wan Mohd Redzuan Wan Hassan berkata, kepakaran untuk membuat kajian bagi menghasilkan vaksin memerlukan sumber kewangan yang tinggi.

Sedangkan kata beliau, Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang membangun dan belum memiliki kemampuan tersebut.

- Advertisement -

“Insya-Allah kita sedang berusaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar vaksin suatu hari nanti.

“Usaha ke arah itu sudah pasti memerlukan perancangan teliti dan rapi yang tentunya mengambil masa agak panjang,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan individu yang menolak vaksin akan dihadkan pergerakan mereka di luar rumah.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan laman web www.VaksinCovid.gov.my.

Dr Wan Mohd Redzuan juga berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Luar sentiasa berusaha memastikan Malaysia berada dalam kedudukan terbaik mendapat akses vaksin Covid-19.

Kata beliau perkembangan itu sepatutnya disambut baik rakyat rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

“Mana tahu suatu hari nanti Malaysia akan menjadi ‘jaguh vaksin dunia’ seterusnya kajian dan proses pembuatan dapat dilakukan di negara kita sendiri,” ujarnya.

Malah Jawatankuasa Muzakarah yang bersidang pada 3 Disember lepas mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus.

Dan ia wajib diambil semua golongan rakyat seperti ditetapkan kerajaan Malaysia. – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -