Fokus tangani Covid-19 bukan bincang kerusi PRU

Dr Mohamed Fadzli Hassan melawat penduduk Tionghua di Dun Temangan.

MACHANG: Parti-parti politik yang bernaung bawah Perikatan Nasional (PN) sewajarnya memfokus membantu rakyat berdepan pandemik Covid-19 dan belum masanya menyentuh soal pengagihan kerusi pada pilihan raya umum.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sewajarnya semua pihak menumpukan perhatian kepada penularan wabak Covid-19 yang sudah setahun menular di negara ini.

Malah katanya, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan proklamasi darurat di Malaysia bagi membantu kerajaan menangani wabak tersebut.

Advertisement

“Lagi pun berita berkaitan siapa akan menjadi Perdana Menteri, perebutan kerusi dan pilihan raya menyebabkan rakyat semakin muak.

“Rakyat dalam keadaan sukar sekarang di mana ramai kehilangan pekerjaan akibat wabak tersebut. Jadi isu politik perlu diketepikan seketika,” katanya di sini.

Baru-baru ini, Gerakan yang baharu menyertai PN menuntut sekurang-kurangnya satu kerusi Dun yang dimenangi PAS di Kelantan sejak 1990.

Pembantu Setiausaha Gerakan Kelantan, Gan Thuan Bun dilapor berkata, sudah sekian lama PAS mempertahankan kerusi Dun Kota Lama, sedangkan terdapat ramai pengundi Cina di Dun berkenaan.

Dun berkenaan mempunyai peraturan pengundi Cina teramai di Kelantan. Bagaimanapun jumlah pengundi Melayu masih lagi dominan dengan lebih 60 peratus.

Bagaimanapun selang dua hari kemudian Setiausaha Agung Gerakan, Mah Kah Keong menyifatkan kenyataan Gan Thuan Bun belum masanya.

Dr Mohamed Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kenyataan pemimpin Gerakan Kelantan agak kurang diterima baik masyarakat di negeri ini.

“Apabila disebut soal kerusi pilihan raya di Kelantan, bererti kita ada hasrat dan respon daripada parti-parti lain termasuk rakyat. Jangan buat kenyataan terbuka berkaitan kerusi PRU,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 17/2/2021