Bicara kolam

bicara
- Advertisement -

POLITIK Malaysia rupanya masih kebudak-budakan. Kalau seorang pemimpin utama pun masih membawa watak ini, tentulah lebih lagi kepada ahli. Tetapi tidak mustahil juga jika ahli lebih cerdik kerana kadang-kadang yang jadi pimpinan itu hanya bernasib baik atau ada kroni yang menarik. 

Semua telah mengakui bahawa politik Malaysia sangat rencam. Penyatuan politik telah menjadi satu kemestian bukan lagi pilihan jika ingin membentuk kerajaan. Kalau masih ada yang beranggapan ia boleh bersendiri, bermakna ia sedang ketinggalan dalam mimpi zaman sebelum merdeka.

Persoalannya bukan berapa banyak rakan atau kolam yang kita perlu bersama tetapi kolam apa? Jika kita perlukan sepuluh buah kolam untuk menyatukan ummat mendirikan solat Jumaat, maka sepuluh kolam perlu diteroka. Tanpa sepuluh kolam mungkin solat Jumaat yang perlukan 40 orang jamaah yang berwudhuk tidak dapat dilaksanakan. Kalau hanya ada lapan kolam, maka galilah lagi dua kolam. Itu jika bicara mengenai kolam.

- Advertisement -

Zaman politik kanak-kanak… ‘Aku tak nak kawan kamu jika kamu kawan dengan dia’ sudah berlalu. Apa yang penting, apa kebaikan kepada ummah jika kita berkawan bersama. Politik soleh dan islah bukan hanya untuk membentuk kerajaan bagi mendapatkan kuasa. Politik soleh dan islah ialah untuk apa dan bagaimana memanfaatkan kuasa bagi kemaslahatan ummah.

Jika seorang pemimpin utama tidak miliki kefahaman ini, ia akan binasakan rakyat dan negeri yang dipimpin. Hanya untuk kuasa. Dan akhirnya menggila menggunakan kuasa. Ia tidak faham keperluan kuasa adalah untuk kesejahteraan agama dan bangsa.

Berbalik pada istilah kolam, bermainlah dengan seberapa banyak kolam yang diperlukan bagi menyatukan manfaat ummah dan agama. Selagi kolam itu bersih dan boleh dibersihkan. Cuma, jangan mengkritik orang main banyak kolam, tetapi secara diam berkubang di kolam ‘babi’. Hanya untuk rasa puas boleh mandi dalam kolam. Walaupun nampak suci, tetapi ada yang mencium bau najis Mughallazah itu.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 17/2/2021

- Advertisement -