Reka bentuk logo baharu Perak FC disenarai pendek

IPOH: Beberapa reka bentuk logo baharu Perak FC telah disenarai pendek bagi membolehkan peminat Perak FC memilih sendiri logo yang dirasakan sesuai untuk pasukan mereka, menerusi undian dalam talian yang bermula malam ini.

“Kita dapat sekitar 1,500 penyertaan, namun hanya enam atau tujuh sahaja yang dipilih untuk disenarai pendek dan undian ini juga kita buka selama 24 jam sahaja memandangkan banyak lagi proses perlu dilakukan selepas logo dipilih,” kata Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed.

Advertisement

Beliau berkata logo yang disenarai pendek oleh ahli panel ini dipilih berdasarkan keaslian reka bentuk dan yang bersesuaian.

“Mana-mana reka bentuk yang imej diambil dari Google kita tolak,” katanya ketika ditemui selepas melawat sesi latihan pasukan Perak FC di Stadium Mini 1Malaysia di sini, semalam.

Pada 9 Feb lepas, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dilaporkan menitahkan agar pertandingan mencipta logo baharu Perak FC dibuat dan penyertaannya dibuka kepada seluruh rakyat jelata.

Baginda menitahkan perkara berkenaan berikutan logo yang dilancarkan Perak FC menerusi Instagram peraktbgmy dengan mengetengahkan konsep a new chapter begins, but the history remains pada 30 Januari lepas itu mendapat kritikan dan reaksi negatif daripada para penyokong The Bos Gaurus. – BERNAMA