Sisi gelap: Pelajar IPT usah terikut trend ‘tunjuk kaya’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usaha membendung gejala tidak sihat dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang terlibat dengan aktiviti pelacuran adalah satu usaha yang perlu diambil secara bersama.

Ini boleh dilihat melalui wujudnya platform baharu Sucrebook setelah kerajaan menyekat laman sesawang Sugarbook.

Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS), Ustaz Rizuan Rahmat, situasi tersebut amat membimbangkan, apatah lagi aplikasi sedemikian turut menyasarkan anak muda yang bakal menjadi penentu masa depan negara.

Justeru itu, beliau mewakili DUPNS menyeru semua pihak memainkan peranan penting dalam memelihara akhlak dan sahsiah pelajar-pelajar termasuk pihak IPT sendiri.

- Advertisement -

Katanya, pihak IPT harus memantau perkembangan pelajar masing-masing terutamanya dari kalangan Melayu Islam yang secara jelas melanggar tunggu agama.

Tambah beliau, pelajar juga harus diberi kesedaran mengenai sisi-sisi gelap dunia aktiviti tidak bermoral itu yang indah khabar dari rupa.

“Walaupun musim pandemik Covid-19 adalah waktu yang sukar terutamanya dari aspek kewangan, para pelajar IPT dinasihatkan tidak ambil jalan singkat untuk mencari wang atau menambah pendapatan.

“Wang, janji manis dan keseronokan yang ditawar sugar daddy itu hanya keseronokan sementara dan banyak lagi sisi gelap lain yang tidak diceritakan dalam dunia sebegitu.

“Contohnya, dari aspek psikologi sugar baby pada masa akan datang. Mereka akan rasa tidak tenang, kemungkinan dicederakan, ditipu, bahkan ada yang dijadikan keldai dadah,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan bahawa banyak lagi pintu-pintu rezeki yang halal terbuka luas dan terbentang untuk para pelajar menambah pendapatan tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

Tambah beliau, pelajar tidak perlu terikut-ikut dengan trend semasa hari ini yang gemar menunjuk cara hidup mewah di laman sosial.

“Bersederhanalah dalam hidup, usah terikut dengan trend ‘tunjuk kaya’ yang dilihat melalui laman sosial. Jalanilah hidup yang tenang dan semoga diredhai Allah,” nasihatnya lagi.

Pada Rabu lalu, media melaporkan bahawa Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ketiga tertinggi Asia bagi jumlah sugar daddy melalui aplikasi Sugarbook, sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai sugar baby.

Seramai 12,705 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dilaporkan mendaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari sugar daddy.

Satu tindakan telah diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan menyekat akses laman sesawang Sugarbook.

Bagaimanapun, wujud pula platform-platform baharu yang menyerupai Sugarbook dengan niat sama. HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -