PGA rampas barangan seludup bernilai RM60.77 juta

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas barangan seludup dari negara jiran yang bernilai RM60.77 juta melibatkan sebanyak 800 kes sepanjang tahun lepas.

Menurut Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, jumlah kes meningkat sebanyak 52 peratus berbanding tahun 2019 iaitu 526 kes.

- Advertisement -

Katanya, sepanjang tahun lepas seramai 696 individu ditangkap yang melibatkan tangkapan 623 lelaki dan 73 perempuan.

“Nilai rampasan keseluruhan meningkat sebanyak 123 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Manakala kes di bawah Akta Dadah Merbahaya merekodkan nilai rampasan terbesar iaitu sebanyak RM19.85 juta yang melibatkan 111 kes, diikuti rampasan di bawah Akta Kastam sebanyak RM19.73 juta iaitu sebanyak 234 kes,” katanya pada sidang media di Markas PGA Lubuk Stol, hari ini.

Selain itu katanya, Batalion 8 PGA mencapai rampasan tertinggi sebanyak RM29.7 juta dengan jumlah kes sebanyak 219.

Dalam pada itu katanya, Batalion 9 PGA mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM15.12 juta yang membabitkan 302 kes.

Bagaimanapun katanya, pencapaian tertinggi oleh Batalion 8 PGA didorong dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 441 kilogram pada September 2020.

Menurutnya juga pada tahun lalu petugas Op Benteng Covid berjaya menahan seramai 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melibatkan tangkapan 73 orang rakyat Thailand, Kemboja (29), Myanmar (24) dan lain-lain negara seramai 11 orang.

Manakala seramai 23 tekong berjaya ditahan yang melibatkan 15 orang warganegara Malaysia dan 2 rakyat Thailand serta seorang dari Kemboja. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

- Advertisement -