Berulang alik ke masjid selepas dapat rumah dhuafat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rumah dhuafat yang disumbang percuma kerajaan negeri memberi erti yang sangat besar kepada keluarga Shafie Hassan, 48 dan isterinya Rugayah Abdullah, 50.

Kini mereka hidup selesa bersama dua anak kembarnya berusia 13 tahun.

Namun sumbangan rumah yang bernilai lebih RM50,000 itu mengubah cara hidup Shafie dengan berulang alik ke masjid sekarang.

Sedangkan sebelum ini masjid dijejakinya hanya pada hari Jumaat dan ketika solat sunat Hari Raya sahaja.

- Advertisement -

Namun di atas keprihatinan wakil rakyat dan kerajaan negeri berjaya mengubah kehidupan keluarga penduduk tersebut.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah dapat bantuan rumah ini kerana pekerjaan saya sebagai buruh pendapatan harian RM50 sudah tentu tidak mampu membina rumah sendiri.

“Tambahan pula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang saya tidak bekerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jejulok Banggu di sini hari ini.

Hadir sama Penghulu Mukim Jejulok, Ismail Saad yang merupakan individu yang banyak membantu keluarga Shafie.

Kata beliau, selepas mendapat rumah baharu yang tidak pernah diimpikan sebelum ini, terbuka hatinya untuk berulang alik ke masjid bagi menambah ilmu agama dan beramal ibadat.

“Kita kena ingat rezeki yang diberi-Nya, jadi saya hendak balaslah rezeki yang diberikan kepada kami dengan berulang alik ke masjid setiap hari.

“Saya juga tolong bersih Masjid Mukim Jejulok dan azan ketika masuk waktu solat pada sebelah siang,” katanya.

Usaha itu bermula selepas beliau mendapat bantuan rumah dhuafat secara percuma pada 2019.

Shafie juga bersyukur isterinya diterima berkhidmat sebagai pekerja bahagian kebersihan di Maahad Taqadum Maarif Pasir Tumboh sejak setahun lalu. – HARAKAHDAILY 16/2/2021

(Ikuti kisah lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)

- Advertisement -