Liga Premier 2021: Tempoh kritikal buat KUFC

Foto daripada Facebook KUFC.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Musim baru Liga Premier 2021 yang akan bermula 5 Mac ini dianggap tempoh yang cukup kritikal buat Kelantan United FC (KUFC).

Menurut Pengarah Teknikal, Nazrulerwan Makmor, masa yang tinggal perlu digunakan sebaik mungkin agar perlawanan pertama yang akan mereka hadapi nanti dapat berjalan lancar.

Justeru itu, beliau bersama ketua jurulatih, Akira Higashiyama akan merangka banyak perkara untuk persediaan lengkap sebelum perlawanan pertama itu nanti.

- Advertisement -

Katanya, seperti yang diumumkan, Malaysian Football League (MFL) tidak berhasrat untuk mengubah jadual pertandingan sementara kerajaan pula membenarkan sesi latihan padang bermula 15 Februari.

“Maka masa yang tinggal memang sangat singkat. Ini satu cabaran getir dan tempoh kritikal buat KUFC untuk menyediakan sebuah pasukan yang benar-benar bersedia apabila saingan Liga Premier dibuka dengan rasminya,” ujarnya menerusi laman Facebook rasmi KUFC.

Dalam masa yang sama, Nazrulerwan tetap gembira dengan kebenaran Kerajaan dan hasrat MFL meneruskan perlawanan Liga Malaysia mengikut jadual.

Ini kerana menurutnya, industri bola negara mesti berada pada landasan asal agar persiapan Harimau Malaya untuk persaingan kelayakan Piala Dunia dan Asia dapat diteruskan.

“Saingan liga yang dijalankan memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya skuad Malaysia dan kita harapkan musim ini berjalan lancar sehingga tamat seterusnya merancakkan semula industri sukan negara yang suram sejak pandemik melanda pada setahun lepas,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -