Sekat aplikasi galak pelacuran – DHPP

- Advertisement -

DEWAN Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menyahut seruan YB Datuk Hj Amzad Hashim, Timbalan Menteri MOSTI merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu untuk mengekang aplikasi kegiatan pelacuran yang tidak bermoral dan penyalahgunaan teknologi untuk menyuburkan aktiviti yang terkutuk ini.

Peningkatan jumlah mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi yang menggunakan aplikasi ini sudah tentu menyumbang kepada keruntuhan moral di kalangan pelajar IPTA dan IPTS dan perkara ini perlu dipandang dengan lebih serius oleh pihak yang berkepentingan demi membentuk generasi yang bertanggungjawab.

- Advertisement -

DHPP menyeru dan menyarankan kerajaan dan semua pihak untuk mengambil tindakan serius bagi mengekang aplikasi ini jika kita ingin membendung keruntuhan akhlak dan moral di kalangan pelajar yang juga terdesak akibat kegawatan kewangan di kalangan mereka.

Pihak IPT juga harus memainkan peranan dengan membantu dalam meringan masalah yuran pelajar agar mereka dapat terus meneruskan pembelajaran tanpa sebarang tekanan. Tekanan kewangan sudah tentu menjadi punca utama pelajar berkecimpung dalam kegiatan ini.

Pelajar-pelajar kita juga harus dididik untuk mengambil kira dosa dan pahala serta sifat takut pada Tuhan agar ia dapat menyedarkan mereka akan akibat yang bakal menimpa mereka sekiranya mereka melibatkan diri dalam perbuatan yang melanggar akidah ugama masing- masing. Peranan ibu bapa dalam memantau aktiviti anak-anak mereka di IPTA dan IPTS harus dipergiatkan dalam membendung kegiatan ini.

Kerajaan juga harus mencari langkah yang menggerunkan kepada kedua-dua pihak yang bakal terlibat supaya mereka akan berfikir berulang kali sebelum terjerumus di dalam kegiatan yang memalukan lagi yang tidak bertanggungjawab ini.

DR BALACHANDRAN GOPAL KRISHNAN
Ketua Penerangan
Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) – HARAKAHDAILY 14/2/2021