KUFC semakin tersusun – Che Abdullah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Segala persiapan Kelantan United Football Club (KUFC) perlu diperkemaskan termasuk urusan pentadbirannya menjelang perlawanan Liga Malaysia yang akan bermula pada 5 Mac depan.

Presiden KUFC, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi melawat Pejabat Urusan KUFC di Bangunan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, semalam, yang turut disertai Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan merangkap penasihat pasukan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Turut mengiringi ialah Timbalan Presiden, Dato’ Zamri Ismail, Pengarah Eksekutif Kelantan United FC Sdn. Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani, Setiausaha Eksekutif, Wan Mohd Zul Ikman serta Penolong Pengurus Pasukan, Nik Khuzaimi Nudin.

- Advertisement -

Dalam lawatan itu, Che Abdullah bertanya khabar tentang persiapan kelab dan pasukan.

“Alhamdulillah, KUFC semakin tersusun. Urusan pejabat diselaraskan dalam satu tempat di sini,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook beliau.

Pejabat itu juga turut dilengkapi dengan sebuah kafe butik untuk merchandise kelab.

Bagi media pula akan diperhebatkan lagi dengan sebuah studio lengkap untuk sesi fotografi dan siaran langsung.

Selain itu, katanya apa yang lebih penting lagi adalah sesi latihan pasukan yang kini sedang dalam proses untuk mendapat kebenaran untuk persediaan mendepani perlawanan pertama tidak lama lagi.

“Semoga segalanya berjalan dengan lancer, insya-Allah,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II. – HARAKAHDAILY 14/2/2021

- Advertisement -