Rumah ‘second hand’ atau baharu, anda berhak cerewet

banglo 2
Foto hiasan.
- Advertisement -

BAHAGIAN 1

HARI ini ramai yang apabila membeli rumah dari pemaju dibelenggu dengan kebimbangan apa akan terjadi sekiranya rumah tersebut tidak akan disiapkan atau lewat disiapkan. Justeru itu terdapat mereka yang memilih untuk membeli rumah second hand. Rumah second hand bermakna anda membeli rumah dari tuan rumah bukan daripada pemaju.

- Advertisement -

Ada yang berurusan terus dengan tuan rumah dan ada yang melalui agen hartanah. Saya pernah membeli rumah dari tuan rumah tanpa melalui mana-mana agen. Saya mendapat tahu tuan rumah itu hendak menjual rumah beliau dan saya telah menawarkan untuk membelinya. Walau bagaimanapun kebanyakan pembeli mendapat maklumat sesebuah rumah itu hendak dijual apabila melihat tanda ‘UNTUK DIJUAL’ dengan nombor agen hartanah.

Kelebihan membeli rumah yang second hand yang juga dipanggil rumah subsale adalah rumah tersebut berada di hadapan mata anda. Anda boleh memeriksanya dengan sepuas-puas hati. Ini berbeza dari rumah ‘jual dan bina’ yang dibeli daripada pemaju di mana anda perlu menerima unit rumah yang anda pilih setelah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA). Jarang sekali anda boleh menukar ke unit lain setelah rumah anda siap dan serahan milikan kosong (vacant posession).

Walau bagaimanapun untuk rumah terpakai jika anda tidak berpuas hati anda boleh menarik diri. Anda boleh melawat seberapa banyak rumah sehingga anda berpuas hati lalu membuat pembayaran tempahan (eranest deposit), mendapatkan pembiayaan, membayar baki deposit dan lalu menandatangani SPA. Jangan terburu-buru, periksa dengan terperinci rumah yang anda hendak beli atas, bawah, luar dan dalam.

Rumah second hand tidak datang dengan Tempoh Liabiliti Kecacatan atau Defects Liability Period (DLP) seperti rumah ‘jual dan bina’. Jarang sekali sekiranya selepas enam bulan anda menduduki rumah yang anda beli, penjual akan datang membaiki rumah tersebut kerana anda tidak berpuas hati dengannya. Sekiranya anda tidak memiliki pengetahuan yang berkaitan maka dapatkan mereka yang boleh menasihati atau membuat pemeriksaan bersama anda. Lebih baik susah sedikit di peringkat awal dari menyesal di kemudian hari. Jangan juga segan kerana anda akan membuat pinjaman di mana akan membayar setiap bulan untuk 15 atau 20 yang akan datang. Justeru itu, anda berhak bersikap cerewet.

Di antara masalah utama adalah yang melibatkan air, elektrik dan anai-anai. Kebocoran air di bumbung atau siling mungkin akan melibatkan kos yang tinggi untuk diperbaiki. Sementara lumut di dinding mungkin akibat kebocoran paip di dalamnya yang tidak seharusnya diabaikan. Masalah elektrik pula bukan sahaja membebankan tetapi boleh mengancam nyawa. Anai-anai pula tidak mudah dihapuskan sama sekali. Ada kes seorang pembeli yang telah menetap hampir 20 tahun di rumah second hand yang dibeli tetapi masih dibelenggu dengan masalah ana-anai.

Jika anda masih berminat setelah anda mengenalpasti segala kecacatan dan kerosakan pada rumah tersebut, dapatkan anggaran kos untuk membaikinya. Cuba dapatkan potongan harga dari pembeli agar dapat menampung kos tersebut. Walau bagaimanapun lebihkan sedikit kos baik pulih ini kerana mungkin terdapat kecacatan dan kerosakan yang anda tidak temui ketika pemeriksaan tetapi hanya akan ditemui setelah anda menduduki rumah itu (latent defects).

Terdapat juga mereka yang membeli rumah second hand dari seorang kawan dan menyangka tidak perlu membuat pemeriksaan terperinci. Ada yang mengambil sikap ‘lebih kurang’ atau segan untuk bertanya banyak soalan. Ini satu kesilapan besar kerana akhirnya kawan boleh menjadi musuh atau tali persahabatan sejak bertahun-tahun musnah sama sekali sekiranya timbul masalah.

Pastikan juga mereka yang hendak menjual rumah kepada anda berhak untuk menjual rumah tersebut. Saya pernah hendak membeli rumah tetapi membatalkan hasrat setelah mendapati rumah itu dimiliki oleh beliau dan adik beradik. Saya bernasib baik kerana penjual itu telah berterus terang. Justeru itu, dapatkan bukti pemilikan seperti surat hakmilik (geran). Buatlah carian di Pejabat Tanah dan jangan hanya bergantung kepada salinan yang diberikan oleh penjual. Tetapi jika anda menggunakan agen hartanah dan peguam yang melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik, anda tidak akan tertipu atau mengahadapi masalah. – HARAKAHDAILY 12/2/2021

Penulis ialah Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH).

- Advertisement -