Cina Dun Chempaka rapat dengan arwah Tok Guru

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi meraikan masyarakat Tionghua di DUN Chempaka, Adunnya, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood turun menyantuni kaum terbabit sempena sambutan tahun baru.

Seramai 50 kaum berkenaan yang tinggal di Mukim Sabak, Tebing Tinggi dan Pulau Gajah diraikan sempena perayaan Tahun Baru Cina kali ini yang berbeza berbanding sebelumnya.

Menurutnya, jelas kelihatan di wajah masing-masing kurang ceria dan perasaan sedih kerana tiada kepulangan keluarga terdekat disebabkan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Tiada majlis makan besar seperti biasa dan sambutan pun secara kecil-kecilan,” ujarnya di sini semalam.

Ahmad Fathan memberitahu, menjadi amalan Pusat Khidmat DUN Chempaka akan turun meraikan masyarakat Cina pada setiap kali sambutan tahun baru.

Tambahnya, ianya sebagai lambang perpaduan dan penghormatan kepada sambutan tahun baru mereka.

“Semoga sambutan pada kali ini akan memberi kebaikan dan kebahagiaan kepada kita semua.

“Sama-samalah kita berdoa semoga pandemik Covid segera berlalu supaya keceriaan kembali seperti sedia kala, “ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat seluruhnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan bersama.

Masyarakat Cina yang tinggal di Dun Chempaka mempunyai hubungan rapat dengan arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah mewakili Dun berkenaan sejak sekian lama.

Kini hubungan yang sedia terjalin itu diteruskan Ahmad Fathan. Masyarakat Cina di situ dikenali ‘cina kampung’. – HARAKAHDAILY 12/2/2021

- Advertisement -