Siapa tidak kenal Pakcik Nawi Bas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman sudah menyusun jadual untuk menziarahi Pakcik Nawi yang berada dalam keuzuran pada hari ini.

Bagaimanapun, kata beliau ketentuan Allah mengatasi segalanya.

“Semalam (kelmarin) saya menyusun jadual untuk menziarahi Pakcik Nawi pada hari Khamis ini setelah dimaklumkan bahawa beliau dalam keuzuran.

- Advertisement -

“Tetapi ketentuan Allah mengatasi segalanya. Pagi tadi (semalam) saya menerima berita bahawa Pakcik Nawi telah kembali ke rahmatulLah pada jam 5.30 pagi ini dan dimaklumkan bahawa solat jenazah akan disempurnakan selepas solat Zohor.

“Alhamdulillah, usai menunaikan solat Zohor di Masjid Telekong, saya terus ke rumah arwah untuk menunaikan solat jenazah,” ujar Ustaz Abdul Latiff menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Menurutnya, allahyarham dikenali para pelajar sekolah kerana sering menaiki bas Pakcik Nawi.

“Siapa tidak kenal Pakcik Nawi Bas. Anak-anak sekolah dahulu ramai yang menaiki bas Pakcik Nawi,” katanya.

Tambahnya, arwah juga ada sejarah tersendiri khususnya dengan arwah ayahanda beliau dan Pondok Sungai Durian.

Katanya, setiap malam Sabtu menjadi jadual tetap arwah ayahanda mengajar kuliah umumi di Masjid Ar-Rahman Pondok Sungai Durian.

Beliau berkata, kuliah bermula selepas solat Maghrib, berhenti untuk menunaikan solat Isyak dan menyambung lagi sehingga pukul 10 malam.

“Ayahanda mengajar kitab, bukan kuliah biasa,” jelasnya.

Pada waktu itu, ujar beliau ‘anak murid’ arwah datang dari seluruh pelosok negeri Kelantan termasuk dari Gua Musang, apatah lagi dari daerah-daerah yang berdekatan.

Katanya, antara yang datang secara istiqamah mengikuti kuliah tersebut ialah Pakcik Nawi.

“Beliau bukan datang bersendirian tetapi dengan membawa penumpang penuh bas beliau yang diambil bermula dari Machang,” katanya.

Beliau menambah, biasanya bas Pakcik Nawi akan sampai 10 atau 15 minit sebelum azan Maghrib.

“Saya pada waktu itu berusia awal belasan tahun. Biasanya kami akan menunggu kehadiran orang ramai yang datang untuk menadah kitab dengan ayahanda termasuklah bas Pakcik Nawi.

“Kami akan sambut di pintu gerbang baru (dulu ada dua pintu gerbang) untuk menyaksikan kemeriahan pengunjung setiap malam Sabtu,” ujarnya lagi.

Menurutnya, suasana itu berterusan sehinggalah pada petang Jumaat 19 Februari apabila ayahanda beliau terjatuh menjelang waktu Maghrib dan tidak sedarkan diri sewaktu sedang bersiap-siap untuk mengajar pada malam tersebut.

Esoknya, kata beliau iaitu pada hari Sabtu jam 8.40 malam 20 Februari 1988, ayahanda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Katanya lagi, selepas itu kuliah malam Sabtu tetap diteruskan tetapi tidak semeriah zaman ayahanda beliau.

“Itulah sedikit kenangan bersama Pakcik Nawi. Arwah terus istiqamah sebagai ahli jemaah Masjid Telekong sehingga ke akhir hayat.

“Semoga Allah mengampuni dan merahmati arwah dan menempatkan beliau bersama para ulamak dan solihin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -