Sungai Kereh: Saka yang payah nak diubat

- Advertisement -

DERITA beliau lebih 40 tahun. Seorang pesawah yang telah lama berjuang untuk buang ‘saka’ Sungai Kereh. Beliau telah lama tertindas apabila air ke petak sawahnya bercampur saka. Saka ini menjejaskan hasil pengeluaran padi. 

Begitulah sedikit intipati penjelasan Pak Cik Rahim terhadap Setiausaha Politik (Setpol) Menteri KASA pada Ogos 2020 di hari lawatan ke lokasi pencemaran Sungai Kereh. Beliau asalnya berada di belakang kerumunan orang jauh daripada Setpol KASA. Saya jemputnya ke depan, memberi peluang supaya penjelasan dapat beliau berikan terus kepada wakil Menteri Alam Sekitar yang turun. 

Saka berketul-ketul, hitam berlendir dan berbau hanyir nak termuntah. Tiada hidupan air mampu hidup dalam air bercampur kelodak saka ini. Sungai pun mati, apatah lagi ikan. Padi juga sudah tak benar-benar menjadi. 

- Advertisement -

Saka ini dipelihara berdekad-dekad lamanya. Tauke-tauke yang pemurah di musim mengundi salah satu punca saka ini terus kebal. Saka ini mempunyai pelbagai lapis penjaga. Lapisan paling agung apabila usaha mengekalkan keuntungan daripada 13,000 metrik tan setahun dalam hasil negeri. Bermakna pengeluaran saka ini takkan terjejas apatah lagi diusik. 

Tahun 2019, lebih 33,000 metrik tan pengeluaran babi di Pulau Pinang berjaya memberi keuntungan lebih RM400 juta ke kantung perbendaharaan. Apa yang menghairankan kita adalah, kenapa keuntungan itu seolah-olah tidak dipulangkan untuk usaha pemulihan Sungai Kereh. 

3 parit utama terus seolah-olah bebas menyalurkan saka-saka busuk masuk membebankan Sungai Kereh. Pihak berwajib, bersikap hanya tunggu untuk diketuk. Sayang sungguh pada komuniti memelihara pengeluar saka. Padahal komuniti itulah kelompok pencemar. Namun, kelompok itulah kita lihat paling diutamakan. Petani, pesawah dan nelayan sungai tak dipedulikan. Walaupun sama kulit tapi itulah ‘kehodohan kebenaran’ yang menjadi realiti. 

Kalaulah kisah Sungai Kereh ini tidak tular sehingga ke pengetahuan Menteri Alam Sekitar, alamatnya Task Force Khas untuk menangani masalah ini pasti belum wujud. Itupun kelihatan kerjasama yang diberi hanya untuk nak menumpang bajet daripada poket orang. Bukan poket sendiri.

Apabila dihantar rungutan rasmi memohon penjelasan, surat yang dibalas penuh dengan dolak-dalik nak manipulasi cerita. Tak guna ada title terpelajar berjawatan Pengarah, tapi akal busuk bagaikan bau saka Sungai Kereh.

Cukuplah saka di kepala sendiri, kenapa harus membiarkan saka busuk mengganggu rongga hidung 10,000 penduduk sekitar. Perjuangan belum selesai! Kita nantikan episod seterusnya. 

ZIKRULLAH ISMAIL 
Merenung Realiti Alam & Manusia
Bukit Jambul Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -