Hanya dua orang setiap meja di Medan Selera R&R

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengguna lebuh raya sebelum ini sukar untuk menjamu selera ekoran Medan Selera di kawasan rehat dan rawat (R&R) tidak beroperasi seperti biasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun mulai semalam syarikat pengendali lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula semua ruang makan di medan selera Lebuh Raya Utara Selatan, selaras dengan arahan kerajaan.

- Advertisement -

Turut dibuka restoran kendalian PLUS di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Bagaimanapun PLUS menasihatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mendaftar melalui aplikasi MySejahtera, saring suhu badan dan penjarakan fizikal ketika membeli makanan.

Katanya hanya dua orang dibenarkan berada pada setiap meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal.

“PLUS berharap pelanggan yang menggunakan lebuh raya dapat menyokong rakan niaga di R&R,” katanya pada kenyataan semalam.

Bagaimanapun ketika tempoh PKP semua kemudahan di R&R seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam.

Selain itu restoran, gerai, trak bergerak menjual makanan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 10 malam.

Menurut PLUS keselamatan dan keselesaan pelanggan menjadi keutamaan pihaknya memandangkan perniagaan komuniti tempatan boleh menjana ekonomi.

PLUS turut menggalakkan pelanggan membuat pesanan menggunakan fungsi Pra-Pesanan di Aplikasi PLUS.

Pelanggan boleh melihat variasi pilihan makanan menerusi aplikasi PLUS atau di Orderdisini.plus.com.my atau Facebook rasmi PLUS Malaysia.

Ketika PKP 1.0 sebelum ini ramai pengguna jalan raya yang melakukan perjalanan jauh sukar untuk menunaikan solat memandangkan premis ibadat ditutup.

Malah pernah diviralkan ada mereka yang berhenti menunaikan solat di tepi gua berhampiran jalan raya. – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -