Antara urus duit sendiri dan duit organisasi

- Advertisement -

SAYA melihat banyak komen negatif dan tahap kecaman kepada khasnya pemimpin masyarakat kerana dilihat lambat bertindak menyelesaikan masalah seperti contoh kes kebakaran sebuah rumah OKU di Kelantan. Ini hanyalah contoh kes daripada beribu kes lagi.

Saya tidak menyalahkan pihak yang ingin membantu, kerana sama ada individu atau badan bukan kerajaan, semua orang tahu kaedah dan peraturan bagi satu-satu agensi atau NGO itu sendiri. Kecualilah duit individu itu sendiri. 

Saya mengambil contoh kes lama sebelum ini, juga berlaku kebakaran. Pada dasarnya pimpinan setempat sudah mengambil tindakan meluluskan peruntukan untuk buat segera rumah mangsa itu. Lalu urusan seterusnya ialah mengisi borang-borang berkaitan untuk urusan pelaksanaan membina rumah ini. Setelah disiasat tapak rumah terbakar ini milik orang lain yang tiada kena mengena pertalian darah dengan mangsa.

- Advertisement -

Disiasat lagi, diambil keterangan daripada pemilik tanah untuk menurunkan tanda tangan bagi kebenaran pembinaan rumah yang terbakar dan pembinaan akan dibuat segera selepas pemilik tanah menyetujuinya.

Daripada keterangan pemilik, rumah yang terbakar dibina sebelum dia membeli tanah dari tuan asal. Dimaklumkan rumah itu dibina oleh arwah orang tua mangsa yang mendapat izin (keizinan lisan sekitar tahun 1978) menumpang dari pemilik asal tanah. 

Orang tua mereka semua sudah meninggal dunia. Jadi mangsa kebakaran sebagai anak terus tinggal di situ. Pembeli tanah ini sedia maklum mengenai perkara ini kerana dimaklumkan perihal rumah yang berada di atas tanahnya. 

Pembeli bersetuju kerana dia belum berhasrat guna pakai tanah ini untuk buat rumah baharu. Sampai bertahun-tahun lamanya. Pemilik baharu tanah ini masih tidak sampai hati maklumkan pemilik rumah itu berpindah kerana dia sudah lama tinggal di situ. Perkara berlarutan sehinggalah rumah ini terbakar. 

Bila isu ini timbul pihak agensi tidak boleh membina rumah mangsa tanpa keizinan bertulis dari pemilik tanah. Maka berlaku kelewatan berbulan-bulan. Datang satu NGO membawa isu ini dan diperbesarkan. Duit sumbangan mulai datang betalu-talu dan cukup untuk bina rumah. 

Tapi isunya rumah tidak boleh dibina. Terhalang dengan status tanah. Duit sumbangan sudah ada dan cukup untuk bina rumah. Mangsa juga sudah diluluskan oleh agensi untuk ganti rumahnya yang terbakar, namum di sana tidak boleh dilaksanakan.

Semasa NGO ini membawa isu, mereka dapat pujian sebagai hero dan simpati dari orang ramai. Selepas sekian lama mereka juga hadapi masalah dan gagal membina semula rumah mangsa walaupun duit sudah ada.

Pemimpin atau wakil rakyat diam-diam telah mendapatkan sebuah rumah lain melalui skim-skim yang ada. Hampir setahun urusan ini. Semua ingat selesai dah. Tapi lain pula jadinya, mangsa enggan duduk di rumah baharu kerana jauh dari tempat asalnya. YB sudah hilang daya berusaha tapi dia tetap tidak mahu pindah dan menerima rumah dengan bayaran bulanan yang rendah. 

Dia berkeras mendakwa tanah tapak rumah yang terbakar itu milik arwah ayahnya. Dia mendakwa tuan tanah asal menipu arwah ayahnya dan telah menjual tanah ini kepada orang lain. Dakwaan beliau tidak ada bukti-bukti bertulis, hanya berdasarkan keyakinan dan dengar-dengar cerita dari arwah ayahnya. 

Beginilah contoh kes-kes yang kita tidak tahu di sebalik kejadian. Kita hanya melihat selapis sahaja. Akan tetapi sebenarnya di lapisan-lapisan lain, bermacam-macam hal yang sukar. Birokarsi, karenah mangsa dan kuasa viral.

Kesimpulannya berbincanglah dahulu sebelum terjah membantu kes-kes begini. Jika bencana alam lain pula, sebab semua orang jaga diri masing-masing, sangat mengaharapkan bantuan luar. 

Dalam kes setempat seperti ini perlu individu atau NGO mendapat maklumat dan kerjasama setempat dalam membantu, seperti kes terbaharu didedahkan di Kedah. Apabila seorang warga emas hidup melarat, tinggal di rumah usang. 

Tetapi sebaliknya dia memiliki beberapa buah rumah yang disewakan kepada orang lain dan lebih mengejutkan nilaian aset yang dia miliki hampir RM2 juta. Kes sebegini banyak berlaku. Saya kongsi untuk perhatian kita bersama.

Warga emas tinggal di rumah usang miliki banyak aset https://harakahdaily.net/index.php/2021/02/08/warga-emas-tinggal-di-rumah-usang-miliki-banyak-aset/

NARAZA MUDA
Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 11/2/2021

- Advertisement -