Covid-19: Presiden PAS sedia jadi penerima terawal vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19.

Dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini, beliau memaklumkan telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

- Advertisement -

Menurutnya, dalam taklimat itu dibentangkan tentang kepentingannya terhadap usaha-usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat, supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.

“Justeru, saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 bersama-sama YAB Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

“Fokus utama kita sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih,” katanya lagi.

Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menawarkan diri untuk menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin diperoleh itu adalah selamat dan berkesan.

Kerajaan dilaporkan mensasarkan memberi vaksin kepada 70 peratus populasi atau 23 juta orang bagi membentuk imuniti berkelompok.

Mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, pemberian vaksin akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan barisan hadapan, fasa 2 kepada kumpulan berisiko tinggi (penyakit kronik) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas sementara fasa ketiga pula orang awam berumur 18 tahun ke atas.

Empat matlamat imunisasi Covid-19 iaitu melindungi barisan hadapan, mengurangkan kematian, membentuk imuniti berkelompok dan memutuskan rantaian jangkitan. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

- Advertisement -