Vaksin: Guru, pendidik perlu diberi keutamaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kumpulan guru dan pendidik perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Demikian pandangan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) dan Persatuan Farmasi Malaysia (PFM) dalam kenyataan bersama semalam.

Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Presiden PFM, Amrahi Buang memaklumkan keutamaan itu wajar agar sekolah-sekolah boleh dibuka semula dan demi memastikan persekitaran selamat untuk anak-anak serta memberikan kestabilan ekosistem pendidikan.

“Tindakan ini akan mengurangkan kebimbangan dan keresahan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing.

- Advertisement -

“Pengambilan vaksin ini akan meningkatkan keyakinan dan semangat guru-guru untuk kembali mengajar anak murid mereka di sekolah tanpa merasa khuatir sekiranya mereka yang jadi penyebab para pelajar dijangkiti,” kata mereka dipetik Bernama.

Menurut mereka, suntikan vaksin Covid-19 tidak melibatkan individu berumur 18 ke bawah buat masa ini dan disebabkan itu, murid perlu dilindungi melalui pemberian vaksin kepada guru-guru yang mengajar mereka.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini dengan sasaran sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma membabitkan tiga fasa.

Fasa pertama akan membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Fasa itu amat penting untuk melindungi petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19. Fasa pertama program imunisasi itu dijadualkan tamat pada April.

Bagi fasa kedua pula, ia akan membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Mereka ialah warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini.

Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.

Bagi fasa ketiga pula, baki penerima vaksin adalah golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas yang akan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022. – HARAKAHDAILY 7/2/2021

- Advertisement -