Keputusan ICQ iktiraf Palestin

YAYASAN MyAQSA (MyAQSA) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court) (ICC) semalam yang mengiktiraf Palestin sebagai Pihak Negara (State Party) kepada Statut Rom dan seterusnya memutuskan bahawa mahkamah tersebut mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan atas perlakuan jenayah Zionis Israel di bumi Palestin khususnya di Tebing Barat dan Gaza.

MyAQSA telah terlibat secara langsung di dalam kes ini sebagai Amicus Curiae. Selepas hampir setahun pasukan perundangan MyAQSA mengemukakan hujah-hujah kepada Pre-Trial Chamber ICC, akhirnya semalam 3 orang hakim di ICC telah membuat satu keputusan yang amat bersejarah kepada perjuangan panjang rakyat Palestin dan umat Islam seluruhnya. MyAQSA amat berbangga apabila mendapati sebahagian dari hujah kami telah diterima dan dijadikan asas dalam penghakiman tersebut.

Advertisement

MyAQSA berasa amat bersyukur dan gembira dengan keputusan ini. Keputusan yang amat bersejarah ini bakal membenarkan segala jenayah perang, genocide dan jenayah kemanusiaan yang diperlakukan ke atas Bumi Palestin khususnya Gaza dan Tebing Barat dibawa ke muka pengadilan Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Penjenayah dan penindas rakyat Palestin tidak lagi bebas melakukan jenayah sesuka hati mereka di bumi Palestin.

Walaupun keputusan ini sungguh bermakna, perjalanan kes ini masih jauh lagi. Dengan keputusan ini, Pendakwaraya di ICC sudah boleh memula, menyiapkan dan melengkapkan siasatan ke atas jenayah yang telah dilakukan oleh rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin berdasarkan pelbagai laporan serta bukti yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Pihak MyAQSA sendiri telah mengemukakan laporan dan bukti-bukti berkaitan kepada pejabat Pendakwaraya ICC sejak tahun 2018 lagi. Manakala pada bulan September 2019, pasukan perundangan MyAQSA telah pergi sendiri ke beberapa tempat di sekitar Baitulmaqdis dan berjaya merekodkan keterangan lebih 30 saksi mengenai perlakuan jenayah Israel.

Walau apa pun kes ini sungguh signifikan kepada status Palestin. Dengan keputusan ini ICC telah mengesahkan bahawa tanah yang diduduki secara haram oleh Zionis Israel adalah kepunyaan Palestin. Dengan keputusan ini ICC telah mengiktiraf Palestin sebagai negara yang mempunyai segala hak yang sah di bawah Statut Rom. Dengan keputusan ini juga menjadikan ICC satu lagi badan Antarabangsa utama yang mengiktiraf hak ‘self-determination’ rakyat Palestin selain dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Ini merupakan satu perkembangan Undang-undang Antarabangsa yang amat besar.

Walau bagaimanapun, MyAQSA juga menyedari bahawa kejayaan ini hanyalah permulaan kepada satu perjuangan yang lebih panjang. MyAQSA komited untuk menekuni dan meneruskan inisiatif perundangan ini. Banyak lagi tindakan susulan dan inisiatif penting lain yang sedang dan akan diusahakan. MyAQSA akan terus membantu pihak ICC agar pendakwaan dan penghukuman ke atas Israel benar-benar dapat direalisasikan.

MyAQSA ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu dan turut menyumbang kepada perjuangan kerdil MyAQSA ini. MyAQSA menghargai bantuan dan sokongan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Malaysia, Wisma Putra, Pihak Berkuasa Palestin dan Kedutaan Palestin di Malaysia. Lebih-lebih lagi penghargaan wajar diberikan kepada pasukan pakar perundangan MyAQSA yang dianggotai oleh Prof Dato Dr Rahmat Mohamad, Tuan Lukman Sheriff Alias, Prof Madya Dr Mohd Hisham Mohd Kamal, Dr Fareed Mohd Hassan, Tuan Azril Mohd Amin, Tuan Wan Rohimi Wan Daud, Tuan Ahmad Edham Abdulwani.

Akhirnya MyAQSA ingin mengajak seluruh umat Islam bersama-sama dalam perjuangan ini dan kami berharap seluruh kepakaran perundangan umat Islam di seluruh dunia dapat digemblengkan untuk memerangi kezaliman dan jenayah rejim Israel ke atas bumi Palestin melalui wahana perundangan Antarabangsa.

Kami meyakini dengan strategi yang betul pada masa yang tepat dan dengan kehendak Allah S.W.T jua, pasti akan menatijahkan kejayaan.

SUWARDI YAACOB
Pengerusi Yayasan MyAQSA 
6 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 6/2/2021