Myanmar: Malaysia perlu teroka penyelesaian politik

Datuk Seri Mohamad Hasan
- Advertisement -

SEREMBAN: Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar dianggap sangat mendukacitakan memandang ia merencatkan reformasi ke arah demokrasi di negara terbabit.

Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, Malaysia perlu segera mendesak agar semua pemimpin parti The National League for Democracy (NLD) dibebaskan daripada tahanan dan hak asasi mereka dihormati.

- Advertisement -

“Junta tentera wajar menghormati keputusan pilihan raya umum pada November lepas yang memberikan kemenangan besar kepada NLD, iaitu sebanyak 356 daripada 412 kerusi,” katanya pada lontaran di lama media sosialnya, semalam.

Baru-baru ini, junta tentera menahan pemimpin demokrasi negara itu Aung San Suu Kyi yang menang pada pilihan raya secara demokrasi di negara itu November lepas.

Mohamad berkata Malaysia perlu memanggil segera mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan meneroka penyelesaian politik di Myanmar.

Kata beliau, ASEAN tidak lagi boleh hanya menjadi pemerhati dan pegun terhadap konflik yang membimbangkan tersebut.

“Mengembalikan demokrasi dan memelihara kepentingan hak asasi manusia adalah urusan ASEAN dan ia mesti menjadi pencatur keamanan yang diyakini untuk rantau ini,” tambahnya.

Kudeta sering berlaku di Myanmar biarpun usaha merintis demokrasi di negara itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.

Konflik yang berlaku di negara itu juga menyebabkan ribuan etnik Rohingya yang beragana Islam terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan negara lain di rantau ini. – HARAKAHDAILY 3/2/2021

- Advertisement -